Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum teman. Sudah
lama tidak melakar bicara di laman ini. Hati bergetar mahu, tetapi masih kalah
dengan nafsu. Tidak sesibuk mana, jika dibanding-bandingkan dengan manusia
lain. Sekali kaki melangkah ke alam keguruan, Anis makin mengerti dan senantiasa
mahu menjalankan tugas sebaik mungkin. Persediaan yang rapi setiap kali sebelum
pembelajaran itu akan dipastikan. Senantiasa menghembus motivasi, bahawa setiap
saat adalah amanah. Maka, sepanjang masa Anis bertugas, perlu digalas penuh
amanah. Bukan mudah, kadang, suasana mempengaruhi jati diri. Namun, kuatkan
diri, dengan doa dan doa. Sejak melangkah di bumi Bintulu ini, rasanya belum
pernah berkongsi apa-apa. Syukur kepada Tuhanku, kerna telah menetapkan diri
ini ditempat yang Dia Maha tahu, yang mana terbaik buat diriku.
SUDAH CINTAKAH DENGAN
BINTULU?
Tidak tahu bagaimana menjawab
persoalan ini. Namun, hijrah ini membawaku kembali kepada kisah hijrah sang
nabi yang melangkah pergi meninggalkan Mekah. Sudah tentu tidak sama, tetapi
bagi diri ini, di mana pun Allah menetapkan diri ini, itulah bumi yang akan
dilimpahkan dengan cinta. Cuba melimpahkan cinta kepada Allah dan Rasulnya
dalam jiwa anak-anak kecil. Ternyata tugas ini bukan mudah. Hatta, dalam mendidik
mereka istiqamah dalam solat subuh, belum pernah berjaya. Namun, diri ini
yakin, Allah yang Maha segalanya pasti akan menggerakkan hati dan meringakan
tubuh mereka bila mana Dia kehendaki. Hanya secubit usaha dan doa seorang guru.
Bumi Bintulu ini tidak sama dengan tanah-tanah madrasah yang pernah Anis
berkongsi ilmu. Sakhsiah mereka ternyata berbeza. Ilmu mereka ternyata berbeza.
Pemikiran mereka ternyata berbeza. Namun, mereka tetap mempunyai akidah yang
sama.
BERKONGSI KEGEMBIRAAN
Syukur juga kepada yang Maha
Satu, kerna telah banyak membantu hamba ini. Karya Anis selamat tiba di sini.
Ternyata juga, inilah sebuah kegembiraan yang dapat dikongsi bersama. Respon
pembaca yang membeli sangat mengujakan. Moga ini adalah hadiah buatku untuk
terus istiqamah dalam menulis. Ternyata writer's
block sedikit sebanyak
menguji. Sedikit sukar untuk mendapatkan buku dan kitab di sini bagi menambahkan
ilmu sebelum diluahkan. Masih banyak juga belum diri ini ketahui tentang bumi
Bintulu ini. Namun, masih berusaha untuk
berkarya. Doakan karya seterusnya adalah lebih baik dan lebih bermanfaat serta
dihasilkan dengan hati penuh ikhlas.
DUGAAN SENDIRI DI BUMI ASING
Jika
dahulu, ringan terasa kaki ke sana ke mari memenuhi setiap undangan tarbiyah.
Ternyata, kini di bumi yang asing, sangat sukar untuk ke mana-mana tanpa teman.
Apatah lagi jika undangan tarbiyah dan dakwah menuntut diri ini yang tidak
berteman keluar pada waktu langit tidak lagi cerah, matahari tidak lagi
memancarkan sinar, hanya rembulan menyuluh terang. Hati mana tidak membuak
untuk tetap setia. Cukuplah Allah tahu.
Moga saat sudah berteman nanti, istiqamah dan mujahadah tidak padam. Insya
Allah, dengan izinMu.
No comments:
Post a Comment