Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, lega rasanya selepas berjaya membuat bilik kembali bertenaga! (huh! apa tu?) atau dalam maksud yang lain, berjaya membuat bilik kembali bisa memberi inspirasi untuk menulis. Meletakkan pepohon hijau sudah tentu akan memberiku “sakinah”. Sejak akhir-akhir ni, semangat untuk menulis down sedikit. Banyak tulisan yang ditulis kelihatannya tidak mempunyai hala tuju. Tapi, Suka untuk anis ingatkan bahawa blog ini hanyalah blog peribadi, ..... jadi.......huhu tak perlulah anis bimbang untuk menulis kadang-kala “ikut suka hati” je. Bila di baca balik, Anis ni kelihatannya suka bercerita dalam mengaitkan dengan sesuatu perkara, betul ke? W.A
Menulis status di sebuah laman sosial, “mencari erti SAKINAH” membuatkan seorang sahabat memberi jawapan yang takkan pernah anis lupakan...Subnallah, cantiknya kasih sayangMU, membuatkan sahabatku seolah-olah memahami.. syukran Kak Yang...
duhai sahabat,
saat hati mencari
engkau memberi
saat hati merasa sepi
engkau menyuluh erti..
sakinah yang ku cari
ada di sisi
MENCARI ERTI SAKINAH
Sakinah. Seraut wajahnya bisa menenangkan ribut hati-hati manusia. Memandangnya bagai memandang bulan purnama, yang kian ditatap kian indah. Lirikan matanya bisa mengundang bahagia, senyumannya aduhai, bagaikan curahan air sejuk mengalir ke dalam jiwa! Kadang terasa bayu dingin menghembus kegersangan hati ketika Sakinah berbicara, mengeluarkan kata-kata memuji Tuhannya.
Dan setiap kali Sakinah mengalirkan air mata kerana merasakan kekerdilannya berbanding Allah yang Maha Esa, saat Sakinah tersedu-sedan mengenang dosanya yang lalu, pabila hatinya diketuk hiba bertalu-talu menembusi kanvas sirah Rasul, waktu dan ketika itu, alam dan isinya bagaikan terhenti dan mengikut alunan zikir hatinya.
Sakinah adalah dambaan manusia di sekelilingnya. Cantiknya Sakinah bukan pada rupanya, namun pada hati dan akhlaknya. Tentu Sakinah memilih untuk melindungi dirinya dengan hijab yang sopan, pergaulan yang menjaga dan yang paling utama adalah hatinya. Cinta Sakinah pada Rabbnya, adalah bilahan rindu yang kejap memangku Sakinah agar hatinya sentiasa dekat pada Tuhannya.
Dambaan Sakinah adalah keredhaan Allah.
Pakaian Sakinah adalah ketaqwaan.
Perhiasan Sakinah adalah malu.
Senyuman Sakinah adalah kerendahan hati.
Redup mata Sakinah adalah keizzahan Islam.
Sakinah adalah bunga indah, yang tanpanya hilang seri dunia. Sakinah ialah madu, penawar banyak perkara. Sakinah juga guru, mendidik dengan penuh mesra. Mencintai Sakinah bakal membawamu mencintai Allah.
Dia tiada sendirian di dunia kerana ada Allah yang menemaninya. Dialah wanita solehah yang ditarbiyah dengan nur Islam. Ada biah solehah, pengislah harapan agama di bahunya. Sakinah kuat dan tabah melawan mehnah, terus gagah dalam lembut dan ramah, menyebarkan dakwah tanpa lelah dan putus asa pada bangsa yang kian parah.
Dia bukan hanya sibuk membelai diri kerana dia sedar kelak dia akan ditanya di padang Mahsyar nanti, apa sumbangan pada agama yang suci ini. Dia tersenyum dalam payah, mengungkap doa mendamba kekuatan, menenangkan hati dengan munajat dan solat yang khusyuk.
Sakinah ibarat mawar berduri. Dari jauh kelihatan cantik dan lembut, namun bila didekati lelaki ajnabi, durinya jadi perisai untuk memelihara diri. Izzahnya dijaga, lembut bicaranya dikawal, lunak suaranya dicegah, anggun tingkahnya diperisai, ayu langkahnya diatur, pesona pandangannya ditundukkan.
Sakinah di hati itu, adalah yang bernama sebuah keutuhan sebentuk perlindungan. Menjadi perisai dan pelindung dari hujan, panas dan ribut dunia yang mencengkam akhir zaman ini. Aduhai penenang jiwa dan penyejuk mata sekalian, sudikah kau mengukir semanis senyuman dan segenggam tabah di hati?
sampaikanlah bingkisan hati ini...
dalam doa ku terus melakari
andai mampu ku mengatur BICARA
andai mampu ku luahkan rasa..
~nilai pada NIL yang masih terus mengalir~
3.33 p.m
26 oktober 2010
M326
No comments:
Post a Comment