Friday, December 4, 2015

Aku dan Bintulu (5) : Belajar memotivasikan diri





Bismillahirrahmanirrahim


Saya belajar banyak kebaikan daripada orang sekeliling saya. Paling penting daripada guru-guru saya yang sangat mementingkan soal masa dan keberkatan dalam mencari rezeki. Soal halal dan haram. Belajar memotivasikan diri untuk meraih keberkatan dalam setiap inci rezeki yang di cari. Menjaga amanah dalam setiap saat yang akan dipertanggungjawabkan. Semoga ALLAH membantuku.



"Anis, dalam setiap saat senantiasa ada ruang untuk meraih pahala dan keberkatan dan PALING PENTING setiap saat itu PASTI akan ditanya di hadapan Allah kelak."

Anis Humaira,
22 April 2014.

MASA LALU YANG DIRINDUI




Bismillahirrahmanirrahim



Ada dua hal yang menjadikan kita mahu berpatah kembali ke masa lalu.



Pertama saat kita rindu...terlalu rindu akan satu momen. Di mana kita amat inginkan agar momen itu berulang kembali. Terutama apabila momen itu adalah saat kita bersama insan insan yang sudah tiada. Ia mampu membuatkan kita menangis untuk kembali ke saat itu dan memanfaatkan masa itu sebaik mungkin. Namun, percayalah dan bersabarlah dengan doa dan solat. Moga Allah akan mempertemukan kembali kita bersama insan itu dengan momen yang lebih indah di 'sana'. 



Kedua, saat kita menyesali kesalahan lalu..terlalu menyesali akan satu momen Di mana kita amat inginkan agar momen itu berulang kembali dan mengubahnya agar menjadi memori yang lebih baik kerana detik yang jelek itu mampu membuatkan kita menangis kekesalan. Namun, percayalah Allah memberi peluang yang lebih baik untuk kita dengan bertaubat.



Ya Allah...al Qawiy...kuatkan kami yang lemah ini, kuatkan hati kami yang merindui masa-masa lalu ini, jadikan masa lalu kami sebagai penguat untuk kami lebih menagih CintaMu



Hatiku butuh kekuatan,
menulis untuk diri,
20 April 2014.

ALERT YOUR SOCIAL LIMIT!




"Bismillahirrahmanirrahim"


Kadang-kadang, ramai yang menjaga pergaulan di antara lelaki dan perempuan ketika zaman mereka di sekolah dan di kampus, namun 'hancur' bila di alam pekerjaan. Menjaga batasan di antara lelaki dan perempuan bukan hanya ketika kita muda, sebelum berkahwin tetapi ia tetap perlu dijaga walau berapa pun angka usia kita. 


Saya kagum dengan seorang sahabat yang sudah berkahwin, yang amat hati-hati dalam pergaulannya dengan lelaki ajnabi ditempat kerjanya. Malah, dia sentiasa menyuarakan kebimbangannya, dalam berinteraksi dengan lelaki. Berinteraksi ketika kerja perlu, bukan tidak berinteraksi langsung hingga membantutkan tuntutan kerja. Namun, interaksi kita mestilah terus berlaku dalam suasana penuh adab, sopan, dipenuhi etika profesional dan paling penting patuh syariah.


Perkara yang kadang terlupa di alam kerja, melunakkan suara ketika berbicara, berdua-duaan di tempat kerja, tidak menundukkan pandangan, bersentuhan antara lelaki perempuan dan sebagainya.


 

Untuk diriku yang sering alpa,
Anis Humaira,
Bintulu,
19 April 2014.

Aku dan Bintulu (4) : Emosi seorang guru




Bismillahirrahmanirrahim

Macam-macam emosi ada bila berhadapan dengan murid. Hakikatnya tak semuanya akan duduk sopan, duduk diam, angguk kepala dengar ustazah cakap, buat semua kerja rumah, jaga solat dan bla bla. Macam macam ada. Semua ni kena tangani dengan iman, dengan ilmu, dengan kesabaran. Senakal mana pun kamu...tapi hakikatnya dirimu lebih kudus kerana kamu tiada dosa berbanding guru di depan kamu ini.

Allahumma faqqihhum fiddin

Suara hati: Hanya mampu menyediakan BBM dengan tangan, belum mampu menyediakan printer. Semoga Allah permudahkan urusanku.

Anis Humaira,
Bintulu,
14 April 2014.