Terima kasih ya Allah kerana masih memilih anis untuk berkongsi ilmu ini dengan sahabatku yang lain. Alhamdulillah, sakinah bertandang di hati... selepas usrah semalam, anis sendiri benar-benar merasakan ketenangan dan dapat memupuk sesuatu yang baru. Anis mula sedar daripada apa yang anis sendiri tahu..huhu.Tahu dan sedar merupakan dua perkara yang sangat berbeza. “Tahu” tidak sampai ke jiwa tetapi “Sedar” sampai kejiwa dan menjiwainya dengan sepenuhnya.
Sedarkah kita sesungguhnya nikmat setiap suapan ketika makan berbeza nikmatnya? Kita tidak akan dapat mengecepi perbezaan nikmat setiap suapan ketika makan jika kita makan sambil bersembang atau juga asyik ligat memikirkan tentang kehidupan kita ini.
Begitu juga dengan nikmat melakukan kerja dan segala aktiviti harian kita. Allah SWT memberikan kita sangat terperinci nikmat-nikmatNya yang jarang kita rasakan kerana sibuk dan asyik dengan fikiran yang memikirkan pelbagai hal kerja dan kehidupan.
Mulai pada saat ini, marilah sama-sama kita berlatih sedar segalanya hanya daripada Allah SWT di dalam melakukan segala aktiviti.
Ketika kita makan, sedarlah bahawa yang memberikan kita makan dan kenyang adalah Allah SWT. Tidak hanya sekadar ‘tahu’ makanan yang kita makan itu sedap dan mengenyangkan sahaja tetapi hubungkan terus jiwa kita dengan Allah SWT dengan penuh kesedaran. Allah yang memberikan kita nikmat sedap dan kenyang.
Walaupun orang lain makan makanan yang sama seperti kita makan, belum tentu mereka juga akan memiliki nikmat sedap dan kenyang kecuali dengan izin Allah SWT.
Setiap nikmat yang kita perolehi dalam setiap suapan merupakan Maha Hebatnya Allah SWT di dalam memberikan nikmat kepada kita sehingga sebegitu rupa hebatnya. Ketika makan, jiwailah setiap suapan dan hubungkan terus jiwa dengan Allah SWT dengan mengucapkan “Terima kasih Allah SWT” apabila merasai setiap nikmat suapan.
Ketika kita melakukan kerja, sedarlah bahawa yang menggerakkan segala kerja adalah Allah SWT. Bukan sekadar kita hanya ‘tahu’ kita banyak kerja tetapi terus sambungkan jiwa kita dengan Allah SWT bahawa yang memberikan kerja yang banyak adalah Allah SWT.
Sedarlah bahawa yang menjayakan atau menggagalkan kerja kita adalah Allah SWT. Latihlah diri kita untuk sedar segalanya hanya Allah. Sebutkan selalu “Terima kasih Allah SWT” kerana memberikan kita kerja yang baik, rezeki yang halal. Ucapkan “Terima kasih Allah SWT” di kala kita menyelesaikan kerja kita, menerima ilmu baru dan sebagainya walaupun kecil.
Apabila kita berlatih dan sedar setiap masa segala kerja adalah di bawah penguasaan Allah SWT, maka kita tidak akan kelam kabut dengan kerja kita yang banyak setiap hari. Kita melakukan dengan tenang. Dengan penuh berserah, pasrah dan redha. Ingatlah bahawa di dalam Islam, berserah, pasrah dan redha merupakan aktiviti yang aktif.
Ketika kita belajar, sedarlah bahawa yang memberi kita kefahaman serta yang memahamkan kita adalah Allah SWT. Ikatkan hubungan jiwa kita dengan Allah SWT sepanjang masa ketika belajar.
Berlatihlah agar kita sedar bahawa kita tidak mampu menjadi bijak dan pandai jika tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Berdoalah pada Allah SWT agar kita sentiasa diilhamkan dengan Taqwa dan dijauhkan diri kita dengan ilham fujur.
Ingat Allah ketika belajar bukan hanya sekadar membaca doa penerang hati di awal dan sesudah pembelajaran tetapi seharusnya hati ini mesti terus bertaut sedar segalanya hanya Allah SWT sepanjang masa pembelajaran. Sedar akan Maha Hebat dan Maha Tinggi ilmu Allah SWT.
Berlatihlah untuk menyedari dan merasai sebenar-benarnya segala-galanya hanya Allah SWT yang Maha Menentukan, Maha Pemberi, Maha Penguasa dan apa sahaja yang ada di langit dan dibumi serta di antaranya tunduk dan patuh kepada Allah SWT samada suka atau pun terpaksa.
Berlatihlah dengan berkomunikasi dengan Allah SWT agar jiwa ini sentiasa berhubungan dengan Allah SWT.
Berkomunikasilah dengan Allah SWT...
Ketika makan:
“Ya Allah terima kasih Allah sebab bagi aku masih dapat lagi rasa lauk ikan ni dengan rasa yang sedap. Sedap betul makan nasi dengan lauk ikan ni. Terima kasih Allah sebab bagi aku rezeki halal.”
“Aku nak suap nasi dengan ikan dan sayur ni pula ya Allah. Hmmmm sedapnya ya Allah. Terima kasih ya Allah kerana masih beri rasa nikmat sedap dalam suapan aku ni ya Allah. Terima kasih”.
Ketika melakukan kerja:
“Ya Allah banyaknya kerja aku ni ya Allah. Bantu aku untuk menyelesaikan satu persatu ye ya Allah. Bagi aku jalan yang mudah untuk selesaikannya ya Allah. Bagi aku seronok dan semangat lakukan ye ya Allah.”
Ketika belajar:
“Ya Allah, fahamkanlah aku apa yang pensyarah ajarkan di depan sana ya Allah. Oh baru aku tahu apa maknanya “close loop integration” ni ya Allah. Hebatnya ilmuMu ya Allah. Oh…cross product dan dot product tu beza rupanya ya Allah. Ya Allah bodohnya aku ya Allah. Selama ni aku ingat sama. Terima kasih Allah sebab beri aku faham dan ilmu. Terima kasih sebab keluarkan aku dari kebodohan. Terima kasih Allah, terima kasih.”
Kesedaran yang kita miliki tidak mampu dipelajari dengan meniru perilaku orang lain, kerana di dalam diri kita ada hakikat agama yang fitrah dan suci sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah.
Kita akan merasakan betapa indahnya iman yang menggetarkan Qalbu. Bukan keimanan yang digagaskan oleh fikiran. Akan tetapi dari jiwa dan hati nurani yang bersih. Kita akan benar-benar mampu untuk mengikat hubungan dengan Allah SWT setiap saat, mengadu segala hal, mengagungkan Allah dan sebagainya.
Semoga Allah terus menuntun kita agar memiliki kesedaran yang tertinggi iaitu sedar SEGALANYA HANYA DARIPADA ALLAH SWT.
p/s:..huhu teringat lagi sejak kecil, abah selalu ajar sebelum makan ucap terima kasih kat ALLAH dulu sebelum ucap terima kasih kat mak abah..huhuhu... teringat lagi satu kisah time adik wat salah..adik yang terlalu kecil usianya mampu berdoa..."ya allah, maafkan adik ya allah"..... huhuhu sama2 latih diri segalanya daripada ALLAH ya!
2 comments:
alhamdulillah..
peringatan yang baik ^_^
syukran kak (^-^)
Post a Comment