Wednesday, June 16, 2010

::Tenanglah dalam menegur::


Bismillahirrahmanirrahim

Syukur kepada Allah..kerana masih sudi memilih anis untuk terus menghela nafas dalam diri yang serba dhaif ini. "Ya Allah tempatkanlah dia bersama golongan orang-orang yang beriman..sesungguhnya hanya engkau yang maha mengetahui apa yang terbaik buat hambamu..moga tenanglah dia di sana.." Hanya doa yang mampu anis kirimkan buat arwah Pak Lang yang baru menghembuskn nafas terakhir semalam, kami tak mampu pulang untuk menatap wajahnya buat kali terakhir kerana baru sahaja sampai di rumah (kelantan)dari kampung (Kedah Darul Aman) pada petang hari sebelum anis sendiri menjawab panggilan yang memberi khabaran duka buat kami pada malam tadi... kaget..innalillahiwainna ilaihi raajiuun... seorang lagi menyusul pergi...walau jarak sentiasa menjadi penghalang, namun semoga doa kami buat arwah akan terus mengirinya..amin

Perjalanan hari ini, ada segelumit duka..tertarik anis pada tulisan seorang sahabat.. menegur dan menegur...anis sendiri umpama diserang fobia..apakah pantas untuk diri ini menegur andai kadang-kadang terbiar tanpa ditegur...tersedar dan tersentak adakah selama ini anis benar atau sekadar terlalu mengejar kepuasan dalam menegur....

Tidak! aku menegur kerana aku rasa perlu...
aku menegur kerana hadirnya rasa sayang...
aku menegur kerana wujudnya rasa memikul sebuah amanah
tanggungjawab???
tanggung di dunia.. jawab di akhirat...
jujur....
kadangkala longlai dalam melangkah di medan ini ...
lantaran aku sentiasa terpaku dengan pers0alan...
anis, benarkah apa yang engkau lakukan tadi??
ya ALLAH...
berpusar-pusar persoalan di minda...

Tenanglah dalam menegur duhai diri...

Kadang-kadang manusia ni terlalu mengharapkan seseorang menjadi seperti yang mereka fahami dalam fikiran mereka, seseorang yang harus menjadi acuan yang mereka harapkan, seseorang yang seharusnya tidak menolak cadangannya jika diberi.


Kadang-kadang, manusia itu terlalu suka mengharapkan apa yang dirancang itu berada dalam perancangan mereka, mengharapkan setiap caturan itu berada dalam perkiraaan mereka, dan mengharapkan apa yang difikirkan itu datang bergolek seperti yang diharapkan.


Kadang-kadang manusia terlalu suka meluahkan segala-galanya tanpa memikirkan perasaan manusia sekeliling, tanpa berfikir panjang kesan baik buruknya, tanpa berkira-kira terlebih dahulu sebelum dilepaskan.


Inilah manusia. Terlalu mengharapkan acuan yang dibeli itu berbentuk bulatan menjadi bentuk hati, terlalu mengharapkan kayu yang berbentuk bongkah menjadi sfera bila dipotong, dan jalan yang lurus itu harus lurus tanpa berfikir kaki tersadung jatuh, memalukan mereka.


Inilah manusia, terlalu acap kali aku melihat manusia yang mengharapkan agar apa yang difikirkan itu betul, haruslah betul seluruhnya. Jika dilihatnya salah, salah seluruhnya. Hairan. Kenapa mereka berprasaan begitu sedangkan apa yang mereka harapkan itu hanyalah mengharapkan kesempurnaan pada seseorang itu.


"Kak, macam mana kalau kita dengar kawan kita sendiri bercouple? Macam mana kita nak tegur? Saya bukan apa, kalau boleh, biarlah persekitaran saya ni kita dapat jaga, dapat membentuk biah solehah" Aku hanya menggeleng kepala. Dalam hati, dia hanya inginkan kesempurnaan sebenarnya sedangkan Allah meletakkan ujian bukan untuk kesempurnaan, tetapi mengajar kita sesuatu dan paling penting, mengharapkan Allah, beribadat kepadaNYA.


Begitulah sikap manusia. Yang rata-rata aku lihat, terlalu mengharapkan kesempurnaan sehingga tanpa mereka sedari, sehingga mengecilkan hati manusia di sekelilingnya. Tidak peduli retak hati seorang sahabat, dan akhirnya yang muncul adalah sebuah kebencian. Senyumlah sikit, nanti semua orang takut nak dekat. Hairan, lihat seorang sahabat yang sentiasa berada dalam muka yang marah.


"Cukup sampai situ, kau kene berhenti, kak. Tanggungjawab kau dah lepas, kalau kau teruskan lagi, takut nanti putus persaudaraan" Angah memberi pendapat pada apa yang aku lakukan. Pada cara aku menasihati seorang sahabat. Teriang-iang kata-kata akhir sahabat itu, "Alar, kubur lain-lain. Kau ape kesah" Terkedu, dan akhirnya aku diam. Cukup sampai situ.


Menegur bukan bermaksud kita mengharapkan kesempurnaan pada mereka. Menegur bukan kita mengharapkan mereka tidak belajar apa-apa dari silap mereka. Menegur bukan bermakna kita fikirkan hati yang keras itu mudah dilenturkan oleh kita. Tetapi menegur supaya mereka faham, ada sesuatu yang menjadikan jalan mereka tempang, terinjut-injut berjalan. Ada sesuatu yang menusuk, dan bantulah, bukan mengherdik manusia itu. Jangan bersikap kesempurnaan segala-galanya dalam jiwa kita kerana sempurna itu milik Allah. Tetapi berusahalah untuk menjadi lebih baik, bukan sempurna.


Bila ditanyakan pada aku, aku jarang-jarang suka menegur manusia sehingga aku dapat kenal mana satu uslub, dan mana satu furu'. Aku hanya akan menyegerakan menegur jika perkara uslub, tapi aku hanya membiarkan selagi boleh dibiarkan perkara furu'. Aku hanya tersenyum bersama-sama mereka, bergurau senda, berkata-kata sesuatu, tetapi jarang-jarang sekali aku ingin menjatuhkan maruahnya hanya kerana masalah yang kecil.


"Akak jarang tengok Aqilah buka tudung. Kalau kat pejabat, ape salahnya kita tak pakai, semua pun perempuan" Seorang kawan pejabatnya bersuara, kehairanan melihat Adek yang cukup menjaga tudungnya.


"Eh, mana boleh kak. Saya dah biasa macam ni. Dalam Islam, kita sebagai perempuan kene selalu jaga aurat kita tak kira kat mana-mana pun" Adek bersuara menerangkan pendiriannya.


"Ye ke? Maaflah, akak tak tahu" Terkedu. Inilah silap kita wahai para pendakwah sekalian. Kita kurang mendekati mereka dan menerangkan serta berkongsi ilmu dengan mereka. Inilah silap kita wahai sahabat-sahabat, jika lihat gejala social yang berleluasan itu, semuanya silap kita. Kita jarang mendekati mereka, tetapi terlalu sibuk menulis di paparan skrin berkata ini sudah cukup untuk memberi ilmu kepada mereka.


Tidak. Mereka golongan yang kurang mendekati ilmu melalui internet. Jika mereka terjumpa, mereka akan memandang sekali imbas. Mereka tak faham.


"Berapa kali akak cakap, jangan gunakan bahasa arab dengan akak. Akak bukan belajar bahasa arab. Nabi melarang kita berbual dalam kelompok yang ramai dan berkata-kata dengan bahasa yang hanya difahami oleh segelintir sahaja. Takut menimbulkan fitnah. Cuba fikir, kalau dalam kelompok ramai-ramai ni, akak cakap bahasa jepun yang hanya akak dan kawan akak ni je faham, dan adek-adek semua terkial-kial fikir apa yang kami cakap. Dan kalau ada hati-hati yang bermasalah, berkata-kata di dalam hati mereka, "diaorang ni mengumpat aku ke?" bukankah ia menimbulkan fitnah. Janganlah buat akak fikir yang bukan-bukan. Kalau nak cakap arab, sila keluar."Tegas suara aku. Lama aku berdiam melihat aksi-aksi adek-adek yang bergurau dalam bahasa arab. Aku hanya mendiamkan diri.


Tetapi, hati yang merasakan dirinya betul, pantas akan jawab,"Tapi, ini kira motivasilah kepada akak supaya akak belajar bahasa Arab. Nanti bolehlah kita cakap bahasa arab pulak" Tergelak.


Melihatnya, aku membalas lembut "
So, why not you take this education of english language, so that you will know everything of planning from non-muslim that took advantage from us especially zionis, who are always thought muslim is the most weak religion adherent that cannot defend ourselves from them? Why we all have to think that people around you have to come joining you meanwhile, it just a little of them thought like that? Why?" Terkebil-kebil melihat. Tak faham. "Faham?"


"Tak faham kak"
Tunduk malu.


"Kenapa tidak awak sahaja yang mengambil kos bahasa inggeris supaya awak boleh lebih memahami perancangan orang kafir terutama sekali zionis yang selalu menganggap penganut islam adalah yang paling lemah untuk menghalang mereka? Kenapa kita semua harus berfikir manusia di sekeliling kita yang harus datang menyertai awak sedangkan hanya segelintir sahaja mad'u yang berfikiran seperti itu? Kenapa?" Terdiam.


"Apa perasaan awak kalau akak bercakap perkara yang awak tak faham, bila awak tanya, akak memperlekeh-lekehkan awak. Apa perasaan awak? Begitulah yang akak nak adek-adek semua faham. Kita bukan di kalangan yang belajar agama sahaja di sini, bukan semua yang berasal dari tanah arab. Bertimbang rasa. Tak salahkan" Tenang aku menutur supaya mereka sedar silap letak duduk kenapa manusia terlalu memandang jelik pada pendakwah sekarang.


"Janganlah buat mad'u menjauh dari kita. Kita kene datang kepada mereka. Kalau nak harapkan mereka datang kepada mereka, mereka segan, malah ada yang masih terbuai dengan enaknya pekerjaan mereka sendiri. Kita yang kene datang kepada mereka." Manusia terlalu acap kali menunjuk-nunjuk kelebihan mereka, sehingga ramai yang tidak menyedari, sekelompok yang ramai tadi, sedikit demi sedikit, mereka semakin hilang.


Hairan manusia sekarang."Kak, saya sedih tengok keadaan manusia sekarang. Merata-rata gejala social teruk. Saya sedih tengok hari-hari kadar jenayah meningkat" Aku melihat adek di sisiku. Mencerun mataku mendengarnya.


"Semua tu salah kita dik. Jangan kita menunding jari berkata mereka salah. Tak, mereka sebagai ujian pada kita. Sedarkah bahawa kita yang akan ditanya oleh Allah, apa usaha yang telah kita lakukan kepada manusia untuk menyebarkan Islam. Jangan hanya sibuk berkata perjuangan tapi tak faham makna perjuangan. Jangan kata sedih, kalau kita sendiri tak lakukan apa-apa"


Kita tersilap berkira-kira kesedihan itu dapat kita luahkan hanya dengan menyatakan bahana gejala itu pada mereka. Lupakah kita, tanggungjawab ini di atas kita, bukan keadaan mereka yang harus kita sedihkan, tapi sedihlah keadaan kita di sana, disoal, kerana kesalahan mereka terletak pada usaha kita. Salah kita sebenarnya.


Hairan berfikir satu situasi. Berfikir manusia yang mengharapkan kesempurnaan dengan memperlihatkan wajah yang kurang senang, sehingga dibenci oleh manusia sekeliling. Kasihan. Hanya itu yang terdetik di hatiku. Bila kita mengharapkan kesempurnaan, maka hatilah yang lara bila jiwa tidak memiliki kesempurnaan tersebut.


Jangan terlalu suka menegur, menegur dengan mengharapkan kesempurnaan kerana manusia sebenarnya ego untuk menerima teguran. Kenapa mesti kita fikirkan silap manusia sehingga lupa akan silap sendiri. Kenapa lihat pada kesalahan manusia, tapi lupa untuk belajar dari kesalahan mereka. Pandailah mencari peluang, kerana peluang itu yang mencerminkan kematangan kita dalam bermuamalat.


Berkata seorang ahli bijak pandai, manusia yang bijak adalah manusia yang belajar dari kesalahan manusia lain dan dia tidak mengulangi kesalahan itu pada dirinya. Begitulah kata-katanya. Mengingati dan menginsafi kesalahan manusia itu ke atas kita, menjadikan kita lebih baik dari itu. Setiap hari kita belajar untuk menjadi lebih baik.


"Dik, kita tak boleh terus ke dia, cakap, "eh, couple tak boleh lah, haram" Ada serupa macam orang gila tak? Perlahan-lahan. Tanyakan dahulu sahabat kita tuh, betul ke dia bercouple? Kita tak boleh tegur berdasarkan prasangka kita, salah tu. Dan bila dia mengaku, jangan terus melenting, perlahan-lahan. Selagi mana apa yang dia lakukan itu boleh kita cegah, kita cegah. Contohnya kalau dia nak jumpe laki tu, cakaplah tak elok jumpe laki berdua, meh aku teman. Hah, kan molek. Lama-lama nanti dia akan sedar, dan jangan lupe banyak-banyakkan doa." Panjang lebar aku menulis pada adek itu.


Acap kali aku ditanya tentang permasalahan couple di kalangan remaja sehingga aku hairan melihat manusia yang bertanya. Memang kebanyakkan berkata couple itu salah, tetapi jika terlancur melakukannya, adakah kita patut membentak-bentak mereka supaya memutuskan tali kasih mereka? Terpulanglah, kita sebagai sahabat yang perlu memantau mereka, bukan memaksa mereka memutuskan rasa yang telah mula berputik. Tapi kekanglah agar tidak menjerumus kepada sesuatu yang dimurkai Allah.


Tunjukkan mereka jalan, dan sama-samalah memelihara agar sahabat kita itu sentiasa mendapat petunjuk. Berikan mereka artikel-artikel yang membentuk mereka agar rasa di hati mereka dipandu mengarah kepadaNYA. Jangan membentak mereka.


Perasaan cinta itu tidak pernah salah, tetapi kitalah yang harus menolong sahabat kita untuk berada dalam landasanNYA sehingga tercapai hajat mereka berada dalam ikatan yang sah. Kenapa terlalu singkat fikiran kita sehingga mendengar perkataan couple terus sahaja menghujam ke HARAM, tanpa memikirkan jalan yang selamat membantu mereka memahamkannya. Hairan, manusia memang begitu.


Manusia ni pelik. Sukakan perubahan itu mendadak tanpa perlu mereka berusaha untuk terima pengubahan manusia di sekeliling, tanpa cuba untuk beradaptasi sedangkan kelebihan manusia berdarah panas telah difahamkan boleh menyesuaikan diri. Manusia ini pelik, terlalu cepat melenting tanpa berfikir panjang terlebih dahulu, kesan baik buruk dan awlawiyat dalam kehidupan mereka terlebih dahulu.


Manusia ini pelik, mengharapkan perubahan kebaikan, tapi diri tetap terus dibuai oleh kejahatan. Manusia ini pelik, suka menyuruh rakan di sebelah bergerak ke hadapan terlebih dahulu, tanpa kita hanya memandang sahaja. Kenapa tak kita sama-sama beriringan, sambil berdiskusi menambahkan pengetahuan. Kongsikan, kerana kongsikan itu bermakna dia penting dalam hidup kita. Sharing is caring.


Bila tegur, bukan bermakna kita nak kan dia sempurna, tapi tegur mengharapkan dia faham. Memahami erti makna sebuah kepercayaan dalam hidup kita. Bantulah, bukan menuding jari.


Pelajar A melihat pelajar B melakukan kesilapan. Dia menegur."Bukan macam tu B, 1+1 jawapannya 2, bukan 3"


Jika pelajar B seorang pelajar yang baik, dia akan berkata, " Kenapa jadi macam tu?" Dan dengan senang hati, pelajar A menerangkan sebaiknya sehingga pelajar B faham.


Tetapi, jika pelajar B mempunyai ego, dia akan membalas, "Apesal pulak salah. Aku tengok cikgu ajar tadi macam nilah. Ape pulak salah?" Dan senyumlah juga kepada dia, kerna dia tersalah faham dan ajarkan sebaiknya juga. Jangan berputus asa.

Teringat kisah Hassan dan Hussin ibn Ali yang menegur seorang lelaki yang tidak melakukan wudhuk dengan sempurna. Cara yang sangat berhikmah kedua-dua cucu Rasulullah s.a.w ini gunakan dengan mendekati pakcik tersebut dan berkata, "Pakcik, boleh tak mengadili cara wudhuk kami, yang mana satu melakukan kesilapan"


Sedang mereka melakukan wudhuk, pakcik itu sendiri yang menyedari kesilapannya tanpa perlu cucu Rasulullah ini berkata sesuatu. Begitulah berhikmahnya mereka menegur. Jangan kita membentak-bentak, mengatakan itu salah, ini salah. Cuba muhasabah, pasti ada sesuatu yang Allah ingin uji kita juga. Bukan hanya dia sahaja yang menjadi ujian pada kita.


"Dik, cuba adek fikir molek-molek. Allah tak turunkan ujian ni pada dia kalau bukan DIA ingin menguji kita juga sebagai sahabatnya. Inilah juga dikatakan ujian sahabat. Sejauh mana kita datang membantu dia, dan tidak menyalahkan dia. Manusia memang melakukan kesalahan, tapi tak seluruhnya kesalahan itu menjadikan kebaikan dia sebelum ini tertutup. Fikirkan kebaikan dia, pasti adek akan terfikir, dia seorang sahabat yang perlu dibantu, bukan dihujam dengan pelbagai andaian" Aku menuturkan pada sahabat. Pada seorang yang mempunyai andaian pelbagai tentang persepsinya.


Dalam aku menuturkannya, aku teringatkan bagaimana Saidina Abu Bakar menerima gelaran As-siddq. Bagaimana kejadian Isra' Mikraj itu membenarkan dirinya untuk mengakui itulah kekuasaan Allah. Dan berapa ramai sahabat Nabi yang goyah terpengaruh dengan hasutan Abu Jahal mengatakan yang bukan-bukan. Inilah ujian sahabat, ujian bagaimana seorang sahabat percaya pada sahabatnya juga.


"Akak, kalau dia tu, saya kata, baik tak payahlah."


"Adek tak kenal dia. Akak kenal dia, lebih lama dari adek berada di sana lagi. Walaupun dia macam tu, tapi akak kenal dia. Akak percayakan dia. Dia sahabat akak dan akak tak suka orang lain buruk sangka dengan sahabat akak"
Aku menutur memberi kesimpulan pada sahabatku. Walau aku tahu banyak desas-desus tentangnya, aku mengenalinya, dan tidak sekelumit pun aku mempercayai khabar angin itu.


"Walau seburuk mana pun tanggapan adek pada dia, dia tetap sahabat akak"


Dalam menasihati manusia, jarang aku ingin mengetahui masa silam manusia lain. Barangkali ramai yang cuba mencungkil sejarah silam manusia itu sebelum mengeluarkan kata-kata yang bernas untuk menjadi kata nasihat padanya. Barangkali alasan mereka agar nasihat mereka tidak menyimpang dari maksud tujuan. Kadang-kadang aku menggeleng kepala atas fahaman mereka sebegini. Jika terdetik kita ingin mengetahui sejarah silamnya, bermakna kita ingin mengetahui aib sahabat kita itu sendiri. Dan kerana itu aku jarang ingin mengetahui sejarah silam manusia.


Mereka adalah mereka, dan kita adalah kita, tetapi kita disatukan pada tali akidah yang satu, maka, nasihatlah mereka dengan menyatukan tali ukhwah itu berteraskan akidah yang satu. Bukan mengharapkan dia berubah seperti yang kita faham, tetapi fahamkanlah asas mereka, agar mereka tidak tersalah sangka pada pemahaman makna permulaan mengenali Islam itu sendiri. Ambillah tangan mereka, dan sampaikan pengenalan kita yang sama dengannya. Taida perbezaan dan sejarah telah berlalu, maka satukanlah apa yang ada sekarang.


"Jangan cuba sesekali mencungkil rahsia dia, takut nanti dia akan berfikir bukan-bukan. Kalau adek nak nasihat, nasihat dia secara umum, jangan terlalu khusus. Bila dia sedia untuk membuka cerita, barulah adek betulkan balik hala tuju adek bila nasihat yang akan datang. Kalau dia tak sedia bercerita tentang kisah silam dia, kita jangan sesekali cungkil." Menasihati seorang adek yang tersalah langkah.


Kadang-kadang kita terlalu ingin manusia itu rapat dengan kita melalui nasihat dan sejarah silam. Sejarah tetap sejarah, tidak perlu diungkit, dan biarkan ianya menjadi sejarah. Apa yang perlu dilakukan, adalah waktu sekarang, ketika mana kita berhadapan dengan dia, seorang mad'u yang ingin sekali kita memimpin tangannya. Bukan berdiri kaku, meminta-minta dia untuk berterus-terang sebelum kita berkata-kata sesuatu membenarkan tangan kita untuk diberikan dan menghulurkan tangan kepadanya. Bukan itu sebenarnya.


Tangkaplah tangannya ketika dia terkapai, dan riangkanlah hatinya sehingga dia terlupa kisah silamnya. Dan jadikan pengalaman ketika bersama dengan kita menjadikan hatinya lembut. Ajarkan petua-petua dalam kita cuba mencari redhaNYA. Ajarkan mereka ibadat yang boleh menenangkan hati mereka. Mereka mengambil tindakan yang tersimpang dari batas adalah kerana hati mereka kosong, dicalari dengan bisikan syaitan, lalu hati itu tuli untuk mengetahui kata hati yang bersih. Lalu mereka terkapai-kapai. Itulah mereka, dan tidak harus kita merasakan beban, riangkan, dan jadikan mereka bahagia.


Berlembutlah dalam menasihati. Janganlah membentak. Dan biarkan jika dia enggan mendengar, berikan dia ruang. Kita tetap adalah seorang yang memberi, walau tanpa dipinta, kita tetap berada di sisinya. Tenanglah. Dia milik Allah, dan kita semua milik Allah. Semuanya telah diberi akal, maka, sama-samalah kita mentafsir segala input melalui pemahaman kita pada Islam.


Tenanglah dan berlembutlah. Jangan mengharapkan perubahan yang drastik, tapi perlahan-lahanlah. Jangan sampai kita terjatuh mengejar dia, sehingga terlupa, dia terbang menjauhi kita. Biarkan dia terbang, satu masa, bila dia dah terlalu jauh, dia pasti akan penat, dan akan datang semula, mengharapkan seorang sahabat, seorang saudara seislam untuk menasihatinya.


Bertenanglah dan berlembutlah. Semuanya dalam kekuasaan Allah. Kita hanya menjadi ilham pada mereka. Dan keputusan akhir, terletak pada Allah. Dan DIA lah selayaknya yang akan mengubah manusia itu sendiri. Begitulah peranan kita mendoakan mereka. Manusia yang mengharapkan perubahan manusia lain tanpa berdoa adalah seumpama berkata-kata pada seekor burung kayu, bercakap, terus bercakap, tapi burung kayu itu tidak akan bergerak sedikit pun. Berdoalah.


Kita sebagai ilham, maka, bertenanglah dan berlembutlah. Raikan kehidupan, dan berjalanlah. Bila terhenti, maka sentiasalah memberi.


Bertenang dan berlembutlah. Satu masa, nasihat kita tetap akan diambil kira. Moga kita menggunakan kata-kata yang penuh hikmah, agar teresap pada hatinya. Insya Allah.


Kerana Allah, Demi Islam, Kita Berjuang...


2 comments:

Mohd Yunus Sharum, PhD said...

Panjang penulisan ni. Tapi saya baca kerana saya minat mesej utamanya - menasihat. Saya juga suka menasihat, seringkali dalam konteks melihat kesalahan orang lain sebagai satu kelemahan. Niat saya ikhlas, bukan nak menunjuk saya lebih baik tetapi atas dasar ingin berkongsi pendapat dan ilmu yg saya tahu. Tapi seringkali saya terlalu fokus pada matlamat (ingin memperbetulkan) hingga saya lupa cara dan medium (tutur kata, ayat, intonasi dsb) juga memainkan peranan dalam memastikan mesej nasihat itu diterima oleh pihak yg dinasihati. Adakala saya tak peduli pun jika nasihat saya itu menyinggung perasaan orang lain. Tapi hakikatnya perasaan orang yg tersinggung tu pun patut diambilkira bila menegur/menasihat.

Dan saya suka bila saudari nyatakan doa juga penting. Terima kasih saudari atas penulisan yg bermanfaat. Bahasa dan cara penulisan saudari juga sangat baik.

Humaira said...

Alhamdulillah, saya juga berkongsi dan mengulas hasil pembacaan tulisan sahabat saya. Artikel ni sejak tahun 2010 lagi, saya sendiri kembali membaca artikel ni selepas terbaca komen saudara sebagai ingatan kembali pada hati yang makin lupa.