Monday, April 23, 2018

DOAKAN AKU



Sambil menunggu murid menyiapkan tugasan, sempat berbual-bual dengan murid. Murid A menceritakan kisah kematian datuknya yang sangat disayangi. Kedengaran suara sebak dan mata sedikit berkaca. Katanya, arwah datuknya dulu sentiasa berpesan tentang agama dan solat. Lantas, terus ustazah menitipkan pesan, 

“Kamu tahu tak apa yang diharapkan oleh orang yang telah mati?”

 “Apa ustazah?”

 “Doa daripada anak yang soleh, doa daripada ahli keluarga kepadanya tanpa henti. Bukan ketika mula-mula kematian sahaja tapi sepanjang kehidupan kita, sampai kita tua pun kita terus berdoa untuk ahli keluarga kita yang dah meninggal. Sebab nanti apabila kita dah meninggal, kita pun mengharapkan doa yang sama juga daripada ahli keluarga.” 

“Nanti ustazah pun mesti nak anak ustazah doakan ustazah kan?”

Sebak pula soalan ini. Murid B pula mencelah “Eh, ustazah kan tak kahwin lagi.” Tersenyum si ustazah.

 Terus ustazah menjawab dengan sebak sambil memandang muka murid-murid, “Ustazah harapkan doa daripada anak murid ustazah jelah, kamu semua anak-anak ustazah, kamu semualah tolong doakan ustazah nanti tau.”

 Tetiba murid-murid lain menyahut, “Saya! Saya! Saya akan selalu doakan ustazah!” 

“A’a kitoranglah doakan ustazah!”

Terima Kasih anak-anak. Moga terus membesar dalam keimanan dan ketaqwaan serta sentiasa tidak lupakan ustazah dalam doamu sebagaimana ustazah tidak lupakan guru-guru ustazah dalam doa.