Sunday, December 30, 2012

kerana Ustazah SAYANG kamu


Bismillahirrahmanirrahim.


"Shamsul, kamu tak sihat ke"? Tanya Ustazah Fida.

Sudah kerap-kali dilihatnya Shamsul kelihatan tidak bermaya dan matanya kelihatan malas sekali. Bukan Shamsul sahaja malah hampir semua pelajar Islam termasuk perempuan bersikap sedemikian. Baik pagi atau tengahari situasinya tetap sama. Rata-rata pelajar Islam itu lemah dan tidak bermaya.

“Semua pejam mata! Siapa yang tak solat subuh angkat tangan.” Ustazah Fida memanjangkan kalam pertanyaan kepada murid-muridnya. Terkejut sakan dia kali ini, berbeza dengan sekolah tempat dia mengajar sebelum ini. Jika sebelum ini hanya seorang dua sahaja yang tidak menunaikan solat tapi kali ini hampir semua murid mengangkat tangan kecuali dua tiga orang. Dia segera memanjangkan istighfar dalam hatinya. Tidak puas hatinya melihat murid yang dilahirkan dalam Islam itu memandang enteng tentang solat. Bagi mereka sudah tiada sebarang benteng bagi melindungi mereka daripada sebarang perkara kemungkaran.

                Perkara itulah yang sangat dibimbangi oleh para pendidik. Apabila murid semakin meningkat remaja, mereka mencari suatu keseronokan bagi menghilangkan segala bebanan fikiran. Namun, keseronokan itu telah membawa kehancuran kepada hidup mereka. Keseronokan yang dipilih hanya kemungkaran semata-mata. Keseronokan bukan dicari dalam solat, namun dengan melakukan perkara yang luar biasa. Merokok, melepak, mencuri dan perkara-perkara yang mengejutkan! Betapa kasihannya si guru melihat anak-anak Islam yang bakal bergelar remaja tahun hadapan. Jiwa yang kosong dengan iman yang tipis terus menjadikan mereka hanyut dengan arus kemodenan dan keterbukaan era ini.


Situasi inilah yang dihadapi oleh kebanyakan guru kini. Guru hanya sebagai pendidik di sekolah, namun di “rumah” pendidikan diberikan oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Jika pincang pendidikan keluarga, maka akan pincanglah remaja itu. Akan mudahlah dia terjerumus ke dalam anasir negatif yang semakin berleluasa di zaman ini. Belum lagi ditanya tentang solat, majoritinya akan menjawab tidak solat. Kenapa? Jawapannya mudah sahaja, kerana ibu bapa mereka tidak bersolat. Aduh! Kasihan mereka. Begitu mudahnya mereka memberi jawapan tanpa sebarang perasaan bersalah? Adakah ibu bapa ini tidak tahu betapa pentingnya solat dalam mendidik jiwa dan peribadi anak-anak? Tidak tahukah mereka dengan peringatan Allah di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud,


“ Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk neraka Saqar ini? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk golongan orang-orang yang bersembahyang."
 ( Al-Mudathsir:42-43) .


Tidak gentarkah mereka dengan bahang dan kepanasan api neraka itu? Ataupun adakah mereka tidak mengetahui bahawa setiap amalan yang dikerjakan itu tidak akan diterima oleh Allah jika mereka tidak solat? Belum lagi mereka ditanya tentang bab Al-Quran. Jawapannya sangat mengecewakan. Bagaimana mereka ingin memperoleh akhlak gemilang, jika roh mereka tidak diberi makanan rohani? Bagaimana mereka ingin memperoleh ilmu yang mantap, jika di dalam kelas mereka tiada tumpuan dan berkhayal semata-mata? Bagaimana mereka ingin menjadi umat Islam gemilang, jika mereka tidak menjadikan agama sebagai tunjang hidup.

Ustaz, di sekolah elit ini… murid-murid  bagaimana agamanya?”  Seorang guru baru melemparkan soalan kepada seorang guru yang agak senior di sekolahnya.

Maksudnya apa ya Ustazah?” Ustaz tersebut mencari maksud dalam yang ingin guru itu sampaikan kepadanya.

Seperti murid-murid yang tidak solat ke….” Guru itu menarik panjang kata-katanya.

Owh… hmmm sebenarnya murid-murid ini memang tidak ada masalah jika diajak solat, namun situasi di rumahnya menjadi masalah bagi mereka. Mereka ni kebanyakan, ibubapanya kahwin campur. Contohnya bulan puasa, walaupun mereka puasa di sekolah, namun bila pulang ke rumah, situasi biasa melihat mak atau ayah meneguk arak secara terang-terang.”  Ulas Ustaz dengan muka yang agak serius.

Guru baru tadi terus terkedu, menelan air liur. 


Antara ole-ole untuk mendidik murid solat

EXAM
Anis sendiri pasti situasi ini sangat disedari oleh semua pendidik sama ada di sekolah rendah, mahupun menengah. Malah kakak Anis sendiri pernah bercerita tentang hal ini. Paling menyedihkan apabila ada para guru tidak solat. Allah… bagaimana dirimu hendak mendidik jika perkara paling utama tidak kamu tunaikan wahai guru...

Membuka lembaran soalan peperiksaan semester ini, soalan KBKK tentang jalan penyelesaian yang harus diambil oleh guru untuk mengatasi masalah murid yang tidak solat dan paling utama ibubapa murid sendiri tidak solat. Hal ini jelas membuka ruang untuk para bakal guru berfikir bahawa masalah ini bukan masalah biasa. Bukan hanya masalah di sekolah, bukan hanya masalah melibatkan hal dunia, malah lebih dari itu. Masalah ini jika tidak dicari penyelesaiannya akan menjadi sebenar-benar “masalah” di akhirat nanti.

Wahai anak didik kami,
“ Sesungguhnya kami ini gurumu, kami sentiasa menganggap kamu seperti anak-anak kami, adik-adik kami dan saudara-saudara kami. Berusahalah mengubah dan memuhasabah dirimu.Solatlah wahai anak-anak. Sesungguhnya solat itu mencegah dirimu daripada melakukan perkara mungkar. Tuntutlah ilmu dengan tekun wahai anak-anak. Sesungguhnya ilmu itu akan membentengi dirimu kelak dari unsur-unsur negatif. Ilmu itu akan menjadikan dirimu gemilang di dunia, gemilang di akhirat. Berusahalah anak-anak, kelak kamu pasti berjaya. Bersainglah anak-anak dengan bangsa asing, kelak kamu pasti disegani sebagai umat Islam yang berilmu. Sesungguhnya kami gurumu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripadamu. Cukuplah bagi kami kamu mempunyai berakhlak terpuji dan berilmu. Jadikanlah agama sebagai teras hidupmu anak-anak. Kelak, kamu akan mengetahui manisnya iman itu. Janganlah kamu menganggap kemarahan kami itu hanya untuk memalukan dirimu.Tidak sama sekali anak-anak! Kami benar-benar menyayangi dirimu.Kami tidak mahu kamu hanyut dengan keseronokan dunia. Insaflah wahai anak-anak. Jangan sia-siakan usia mudamu. Ingatlah wahai anak-anak didik kami,kami tahu kami bukannya manusia yang sempurna. Namun sebagai seorang guru, sudah menjadi tanggungjawab kami membawa kamu ke jalan lurus, jalan yang diredhai Allah. Doa kami akan sentiasa bersama kamu anak-anak. Doa kami ingin melihat kamu berjaya di dunia dan di akhirat. Itulah sebenarnya kepuasan dalam diri kami seorang guru. Semoga kamu gemilang di dunia dan gemilang di akhirat wahai anak didik kami. 


Sesungguhnya kami benar-benar menyayangimu...

Nota : Sungguh pelbagai idea telah dijalankan dalam kelas, hope untuk adik-adik bakal praktikum, ingatlah perkara utama dalam sesi P&P juga adalah solat! Perkara pertama yang perlu kamu tanya dalam memulakan kelas bukan hanya “apa khabar murid-murid” tetapi “apa khabar IMAN murid-murid”. Ada idea yang lagi menarik untuk dijalankan? Boleh share kepada kak Nis :P. Jzkk

Credit to Kak Halida J

Hari terakhir fi baiti sakinah….
11.30 a.m
31 Disember 2012

Monday, December 24, 2012

Kisah kek coklat with blueberry filling!

Bismillahirrahmanirrahim



Masih dalam m0od cuti sebelum menempuh “tahun terakhir” sebagai guru pelatih. Cuti-cuti sebagai rabbatul bait sepenuh masa ini, selain dengan majlis ilmu, melancong, isi dengan mencuba pelbagai resepi tersangatlah seronok. Bereh! Jom cuba resepi kek coklat with blueberry filling. Sangat senang!


1) Bahan-bahan untuk kek:
Bahan   A
½ cup serbuk koko
½ cup coklat masakan   } Semua Bahan A ni dimasak dan ditapis dan dibiarkan sejuk
½ cup air
¼ cup gula castor

Bahan B
Pukul 80 gm gula castor dan 125 gram marjerin hingga lembut. Masukkan 1 sudu kecil vanilla, 3 biji telur, 125 gram self raising flour berselang seli. Last baru masukkan bahan A yang telah dimasak tadi. Bakar dalam 20-30 minit sahaja! (Sekejap je tau :P )


2) Bahan-bahan untuk blueberry filling :

Fresh cream diputar bersama blueberry filling (dalam 2-3 sudu, ikut citarasa masing-masing), putar hingga kental. 




3) Bahan-bahan untuk topping

150ml anchor whipping cream
350 gram coklat masakan (nak sedap boleh guna beryls compound choc)
1 sudu besar mentega

Cara-caranya –Double boiling whipping cream sampai berbuih, kemudian masukkan coklat masakan dan mentega. Done!


NOTA : Selepas kek dah sejuk, belah menjadi dua bahagian (macam kek lapis) kemudian masukkan blueberry filling tadi ditengah-tengah, last sekali topping dengan coklat masakan tadi! Sangat sedap. Try deh!








cuti-cuti ni, badan pun dah naik macam belon huhu -_-“


Masak-masak,
25 Disember 2012,
10.54 a.m




Friday, December 21, 2012

Lensa Cuti 2012

Bismillahirrahmanirrahim…


Hidupku adalah sebuah perjalanan panjang berproses. Beranjak dari sebuah buaian dan menghilang terbatas waktu. Langkah ini menepak membuat sebuah cerita, selalu saja ada kisah baru dalam episod langkah kaki.


Musafir... membawa diri merenung pelbagai sudut

# Cuti-cuti, pegang kamera, sangat seronok merakam gambar!  


LENSA CUTI 1 ( JOHOR)








LENSA CUTI 2 (HOME)



sebahagian timbunan buku... target beberapa buah untuk hadam cuti ni


lepas rasa "rindu" pada seni  T_T


LENSA CUTI 3 (MAAHAD TERCINTA)






Jam matahari!  Keterujaan, cuba mengira ketepatan masa 

LENSA CUTI 4 (PULAU MELAKA)




LENSA CUTI 5 (AGRO RESORT)





 LENSA CUTI 6 (ISTANA NEGERI)


 LENSA CUTI 7 (MASAK-MASAK)







Saje-saje (Fi Baiti)
22 Disember 2012,
11.33 a.m

CUIT-CUIT CUTI



Bismillahirrahmanirrahim.


Terbuai sungguh dengan cuti ini. Di celah-celah masa yang ada penuh dengan tugasan sebagai rabbatul-bait sepenuh masa. Alhamdulillah, sedang belajar mengikhlaskan hati dan memperbaiki diri. Sekadar cuit-cuit sedikit dari beberapa majlis ilmu yang telah dihadiri sepanjang cuti ini


CUIT-CUIT 1

Kata seorang ustazah, anak yang soleh ini ada ciri 3B :
1) Berharga – di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w pernah bersabda; “Tahukah engkau siapakah yang mandul?” Para sahabat menjawab; “ Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah s.a.w berkata ; Orang yang mandul ialah orang yang memepunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”
Bak kata ustazah, ruginya orang yang mandul ini, ada anak namun tidak dididik dan tidak mendoakan kita setelah kita mati.
2) Bangga – Bangga! Jika anak yang kita miliki benar-benar seperti yang didoakan à Qurratu a’yun
3) Bahagia – Anak yang kita milik mampu membahagiakan kita di dunia dan juga di akhirat.

Kata seorang Ustaz lagi, bila berbicara soal anak ni, kadang-kadang kita fikir sampai line dunia je, tapi anak-anak adalah berkaitan akhirat kerna Anak yang SOLEH umpama PENCEN KUBUR kita nanti!

Empat tips mudah bagi seorang ibu dalam mendidik anak :
1) Pastikan punca rezeki halal.
2) Pastikan makanan yang diberi halal serta utamakan produk orang Islam walaupun mahal.
3) Makanan yang dimasak adalah air tangan ibu sendiri
4) Banyakkan berdoa termasuk ketika menyediakan makanan.

Difokuskan berkaitan makan minum kerana kadang ibubapa lupa bahawa punca anak-anak sekarang degil serta berakhlak negative kerana makanan yang mereka makan. Kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kita. Malah, Anis ingat lagi sebuah hadis yang pernah dibaca, Pada suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul doanya." Rasulullah menjawab, "Hai Saad, makanlah yang baik, (halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya seorang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya (perutnya), maka tidaklah akan dikabulkan doanya selama selama 40 hari. Siapa saja manusia yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah yang berhak untuk orang itu." (HR. Alhaafidh Abubakar bin Mardawih dikutip oleh Alhaafidh Ibnu Kathin dalam tafsirnya).



CUIT-CUIT 2

Dalam satu majlis ilmu juga, seorang ustaz berkata, bersyukurlah kamu jika kamu adalah anak yatim kerana kamu terlepas dari garis untuk menjadi anak yang DERHAKA, bersyukurlah jika kamu telah kematian suami kerana sesungguhnya kamu terlepas dari garis menjadi isteri yang DERHAKA.

Benar, bagaimana pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Bersyukurlah jika kita masih bujang kerana kita terlepas dari garis menjadi isteri yang DERHAKA, mungkin saja garis menjadi anak yang SOLEH belum pernah kita LULUS. Katanya ustaz lagi, perempuan ini mudah taat kepada ALLAH, puasanya, solatnya, ibadahnya ALHAMDULILLAH sangat senang dikerjakan dan mudah LULUS, namun bila dalam bab ketaatan kepada suami part ini sangat susah, kadang DOSA MULUT membawa kita ke garis kedurhakaan. Bersyukurlah apapun keadaanmu sekarang, mungkin saja ALLAH tahu kamu tak mampu menggendong beban dosa kederhakaan maka Dia tidak pernah mengurniakan ibu, bapa, seorang suami atau mungkin DIA pernah memberi namun diambilnya kembali agar tidak bertambah dosa kita.



CUIT-CUIT 3

Satu lagi majlis ilmu dalam keadaan rahmat hujan daripada ALLAH azza wajalla. Ustaz mengingatkan bahawa :
1) Antara tujuan mengajar ilmu adalah supaya ilmu kita tidak hilang.
2) Nusrah Allah yang diberi boleh dicabut bila-bila masa apabila Dia kehendaki.
3) Dalam berdakwah kepada masyarakat elakkan bawa masalah ilmu yang terlalu rumit. Yang benar-benar mendalam hendaklah bertalaqqi dengan guru.
4) Jika kita hendak menarik orang kepada Islam hendaklah membuat sesuatu yang menampakkan ISLAM MENARIK!
5) Bila kita dituduh dengan macam-macam tohmahan, jika benar kesalahan itu kita lakukan, maka kita tinggalkan. Namun, jika salah tuduhan, biarkanlah ia berlalu bagaikan angin.



CUIT-CUIT 4

Satu perkongsian ilmu dari ilmuan yang terkenal, BUYA HAMKA. Sangat teruja mendengar rakaman daripada almarhum. Katanya :
1) Hidup itu antara syukur dan sabar..
1) Dalam berbicara bab syukur. Mudah sahaja, jika “tak ada” kita SABAR, jika “ada” kita SYUKUR.
2) Jika kita tidak bersyukur maka akan datang SIKSAAN. Apa dia? kita rasa GELISAH!
3) Manusia ni, nikmat dalam tangannya, dia lupa, tapi dia mengharapkan nikmat yang lain.
4) Bukan dilarang untuk terus meminta-minta namun, belajarlah mensyukuri apa yang dah ada, dan belajarlah mensyukuri apa yang akan datang.
5) Dalam pada kita meletakkan standard ‘terbaik’ dalam hidup, kadang-kadang apa yang kita mahukan tak semua tercapai. Masa inilah perlunya sabar. Sebab kita bukan berkuasa sepenuhnya menentukan standard tu. Kita ada Tuhan yang Maha Mengetahui. Kalau kebetulan standard kita sama dengan Dia, berkemungkinan kita akan dapat apa yang kita mahukan.
Ada lagi… Jom dengar tasyiah daripada Buya Hamka….. Allah… sangat menyentuh hati. L
http://www.youtube.com/watch?v=UCOcAiWz4c4

p/s: Iqa yang solehah, kak nis pinjam lagu blog ni hehe



Sekadar berkongsi,
Anis Humaira (FI baiti),
21 Disember 2012,
4.15 p.m






Saturday, November 24, 2012

"Sardin"


Bismillahirrahmanirrahim…



Sejuk malam menyentuh lembut kulit. Mata melihat jam sekejap-sekejap. Lambat lagi train bakal tiba. Mata sudah melekat, seperti sudah ditampal gam UHU (huhu). Namun dek kerana hati menjerit mahu pulang, terus dilayan kehendak hati untuk melangkah pulang malam ini.  Biarlah menghabiskan sisa ulangkaji di rumah sahaja. Jamuan usrah selesai, jamuan kelas juga baru beberapa minit selesai. Badan masih kepenatan. Dua hari sebelum menemani sahabat dirawat di Selangor. Otak ligat memikirkan peristiwa yang berlaku dua hari yang lepas sebelum kami (Anis dan sahabat) mengambil keputusan untuk terus pulang. Betapa ujian menimpa seorang sahabat dan betapa syaitan itu benar-benar menyesatkan manusia hingga ada beberapa angka umat ini begitu tega membelakangkan agama dan mengutamakan kehendak hawa nafsu semata-mata.


Cuti perayaan yang mendatang ini seakan membuka ruang bagi bernafas, meninggalkan kabut dan serabut jiwa yang mencengkam. Syukur, walaupun satu demi satu potret kehidupan dilalui dengan pelbagai cuaca, ada yang dingin, hujan serta ribut, tinggal hanya bersandarkan pada tiang tauhid mengutuhkan kaki untuk terus berdiri.


Allahu Akbar.


Sebentar tadi kami sempat berbaring sekejap-sekejap di surau. Beberapa masa kemudian, jarum menunjukkan angka 3 pagi. Kami bingkas bangun dan terus melabuhkan punggung di bangku sambil menunggu. Bosan menunggu, kami menjamu mata melihat karenah manusia di stesen Keretapi Kuala Lipis. Mengelamun sebentar. Hening suasana yang membelenggu perasaan di sebalik kelam manusia stesen ini dikejutkan oleh tiupan wisel yang menandakan keretapi telah tiba. Anis dan dua orang sahabat terus berdiri. Umpama terkena renjatan elektrik, terkejut :P .


Segera berlari menuju mana-mana pintu yang terbuka. Masya ALLAH! Terkejut dengan ratusan manusia dalam gerabak yang kecil ini. Benar-benar tawakkal. Dalam hati punya perasaan bingung, hendak diteruskan kehendak untuk pulang atau mahu tunggu train seterusnya. Melihat gelagat dua sahabat yang berusaha untuk pulang juga menyebabkan kaki terus berusaha untuk melangkah naik. Seorang pak cik membantu kami. “Kesardinan” keretapi ini menyebabkan pintu pun tidak dapat dibuka. Pintu hanya dapat ditolak sedikit sahaja. Cuba juga untuk masuk. Alhamdulillah akhirnya kami berjaya. Kaget melihat ramai lagi insan yang ingin menaiki keretapi tetapi tidak berjaya akibat kepadatan penumpang dalam gerabak kali ini. Allah… betapa Allah benar-benar membantu.


UJIAN DISEBALIK RUANG YANG DIBERI


Beg pakaian yang berat dipenuhi buku-buku untuk ulangkaji di samping beg komputer riba yang digalas sedikit pun tidak mencuri perhatian penumpang untuk memberi ruang kepada kami lantaran mereka juga dalam keadaan yang sama. Kepekatan malam dilalui dengan kepenatan berdiri. Akhirnya terduduk juga dalam keadaan sangat tidak selesa. Bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan bersesak berdiri. Hati terdetik. Beberapa masa lagi subuh bakal membuka tirai.



Macam mana kita nak solat ni? Nak bergerak ke kanan tak boleh, ke kiri pun tak boleh juga. Apatah lagi hendak mengambil wudhuk di tandas. Di mana kita nak solat ni?”



Sahabat meluahkan sama seperti di benak fikiran ini.



Jom kita beli air mineral dulu.” Cetus seorang sahabat sambil memandang air mineral yang terletak di tepi kami. Kebetulan kami berada dalam gerabak kantin.

Anis membeli air mineral untuk berwudhuk. Terfikir. Bagaimana mahu berwudhuk? Pasti aurat akan terdedah kepada ajnabi.

Timbul persoalan, bolehkah bertayammum? Sedangkan air masih ada di tandas namun keadaan menyebabkan tidak boleh bergerak ke mana-mana hanya mampu “static” di tempat kami berdiri sahaja. Air juga ada dalam beberapa botol yang kami beli.

Kalau tak pasti, kita rujuk ustaz nak?” Anis cuba melontarkan pandangan. Kebimbangan makin menusuk dalam fikiran yang tidak berapa sihat. Rasa pening sudah menjenguk minda lantaran tidak cukup tidur. Bimbang juga encik migraine datang mengetuk pintu.

Ada ke ustaz nak balas mesej dalam waktu begini?”

“Tak pe, kita cuba dulu ye. Anis cuba forward mesej ni kepada beberapa orang ustaz dan beberapa sahabat, kita dengar apa pandangan mereka terlebih dahulu.”


Satu lagi ujian dalam keretapi. Ketiadaan line telefon. Terpaksa bersabar dalam menghantar mesej. Beberapa mesej sudah dihantar. Mata melirik lembut pada jam di telefon bimbit. Sudah subuh. Bimbangnya hati ditusuk keraguan pilihan jawapan. Ujian mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bersimpang siur dengan jawapan sahabat. Syaitan sengaja menimbulkan keraguan. Menunggu dengan sabar jawapan daripada mana-mana insan pilihan Allah.


Assalamualaik ustaz. Maaf mengganggu di subuh hari. Ustaz, kami sekarang dalam gerabak keretapi, terlalu sesak hingga hendak bergerak sedikit pun tidak mampu. Sekarang subuh sudah masuk waktunya. Kami hendak berwudhuk tapi bimbang aurat kami akan terdedah disebabkan kami tidak dapat ke tandas, hanya air mineral sahaja ada di tangan. Apakah yang patut kami lakukan?”

Setelah beberapa seketika,



Beberapa minit kemudian seorang Ustaz membalas mesej. Ringkasnya, dalam situasi ini dibolehkan bertayammum. Hati gembira hingga mulut tak dapat ditutup. Allah memberikan jalan. Syukur. Tapi di mana kami hendak solat. Hendak mencapai dinding pun tidak mampu. Kerana kami hanya berdiri di tengah-tengah gerabak.

Kita cuba minta tolong pak cik tu nak? Minta pinjamkan tempat untuk kita solat sekejap.” Ujar salah seorang daripada kami.


Takut. Malu tapi mahu. Cepat hati… cepat!


Pak cik, boleh tak kami mahu meminjam tempat pak cik untuk solat. Sebentar saja….” Seorang sahabat memberanikan diri untuk bertanya.


Boleh-boleh.”


Dengan izin Allah, saat itu, beberapa orang di hadapan pak cik itu turut mempelawa kami untuk mengambil tempat duduk mereka. Dalam kepadatan manusia itu, kami bertayammum bergilir-gilir sambil menutupi seorang demi seorang bimbang aurat lengan terdedah. (Syukur, tudung yang labuh dan besar sangat membantu diri kami) . Setelah itu, kami solat secara duduk di atas bangku.


Lega dan tenang. Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan betapa nikmat anugerah “mudah” untuk beribadah sebelum-sebelum ini mula dirasai.

Setelah selesai kami bingkas bangun dan sahabat Anis segera membuka mulut, menjemput pak cik-pak cik tadi untuk duduk dan solat. Namun, mereka tidak mahu, menolak sambil tersenyum.

Tak pe- tak pe. Duduk-duduk,” Pak cik itu senyum.

Kami bingung, adakah Pak Cik itu segan dengan kami atau bagaimana?

Satu perasaan terselit. S.E.D.I.H. Melihat dalam KESARDINAN bilangan muslim dalam gerabak tiada seorang pun yang solat. Mungkin mereka solat menghormati waktu. Cuba berbaik sangka. Akhirnya waktu subuh terus berlalu begitu sahaja. Sudah beberapa kali Anis melihat situasi ini. Sama seperti suatu artikel yang pernah Anis tulis suatu ketika dahulu.



ALLAH MAHU MENGAJARIMU

Benar, dari peristiwa ini, banyak sekali Allah memberikan kami pengajaran.
1) Allah telah memilih seorang yang cukup kami segani untuk membantu kami membuat keputusan. Di saat kami keliru dan ragu-ragu adakah ada manusia yang sanggup menjawab persoalan di subuh hari. Kami tawakkal. Justeru, Allah memberi jawapannya. Benar, pasti ada jalan. Allah telah menghantar seseorang untuk kami.

2) Allah memberi peluang kepada kami untuk mempraktiskan ilmu yang kami ada. Selama ini hanya mengajari anak-anak murid bertayammum, namum belum berkesempatan melaksanakannya sendiri. Lihat, Allah memberi ruang dan peluang.

3) Allah memberi peluang dakwah bil hal. Betapa ramai mata-mata memerhati gerak laku kami bersolat. Kami melihat riak muka mereka juga berubah tatkala diajak untuk menunaikan solat.

4) Allah juga mengajari kami soal tawakkal dan sabar. Dua jam setengah berdiri dengan penuh sabar dan berbincang mencari jawapan. Akhirnya Allah memberi kemudahan untuk kami duduk pada 3 jam yang berikutnya.

5) HIKMAH bertudung labuh, mempermudahkan urusan saat bertayammum, lengan dapat ditutup dengan tudung labuh, besar. Syoknya tutup aurat dengan sempurna.

6) Paling berbekas di hati, Allah juga menganugerahi perasaan nikmat beribadah kepada kami, dan kami belajar untuk menghargai nikmat “mudah” untuk beribadah.



Walaupun ini hanya sebuah KISAH BIASA, NAMUN IA TETAP TERLEKAT UTUH DI MEMORI Anis!



Nota 1   :Sungguh, bersama kesulitan itu ada kemudahan.  Di sebalik musyaqqah itu pasti terselit hikmah. Teringat kata-kata Qawalun : "Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"


Nota 2   : Peristiwa ini berlaku hampir 14 bulan yang lepas. Dengan ujian yang berlaku pada sahabat A, menyebabkan hati mahu segera pulang. Hikmahnya, sahabat B yang pulang bersama mampu meluangkan masa “emas” bersama arwah bondanya sebelum bertemu Rabbul ‘Izzati beberapa masa selepas itu. Menerima khabar sedih di hari wukuf di PUTIK, dan dikejutkan dengan berita kepulangan bondanya menghadap Allah sehari sebelum menduduki peperiksaan. Moga ALLAH mengampuni dosa-dosanya serta menjadikan lubang kuburnya salah satu dari taman-taman syurga serta menjadikannya dalam kalangan hamba yang mendapat rahmatNya di sana nanti. Amin






Hidup adalah untuk mengolah seni kematian. Belajarlah menulis Prasyarat Kematian, sebuah ingatan kewajipan yang perlu dilaksanakan buat diri ini sehinggalah nafas terakhir. Moga setiap hari lebih bermakna.

Rantaian beberapa memori bermakna sengaja aku coretkan,
24 November 2012,
2.00 P.M




Wednesday, November 21, 2012

Memaknakan 1, memburu 99




Bismillahirrahmanirrahim.



LIHAT-LIHAT



Bila melihat indahnya bintang yang Allah ciptakan, hati tidak henti-henti memuji. (Maaf, sebab selalu sebut bintang ^_~)


Berjalan di aspuri menuju ke bilik, kaki terhenti di anjung.


“Ya Allah… cantiknya. Subhanallah…”


Mata terpaku pada terang dan bulatnya rembulan.  Indahnya sangat menenangkan dan menyenangkan. Cahaya memagari bulan dan terpantul menerangi kepekatan malam.




Teringat, saat menyiapkan satu tugasan fotografi, tidak henti-henti merakam gambar indahnya alam. Di sini merakam “kecomelan” bunga yang menghias alam dengan pelbagai warna. Mendongak ke atas pula, merakam gerak tari awan yang berarak dengan pelbagai ragam mencorakkan lukisan di dada langit. Pabila kepada tertunduk ke bawah, terpandang hijaunya dedaun, benar-benar mengikat hati untuk terus terpaku pada ciptaan alam.




Diri sendiri terfikir, masya Allah, jika beginilah Allah mencorakkan alam, bagaimana pula keindahan syurga? Iaitu apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia.




Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)



Subhanallah, sesuatu yang luar biasa ini sudah tentu Allah kurniakan kepada hambaNya yang luar biasa. Luar biasa di pandanganNya hingga terpilih menerima rahmatNya. Kalau kita melihat keindahan di dunia pun kita sudah kagum, bagaimana pula bila melihat keindahan syurga? Bagaimana pula bila melihat keindahan Yang Maha Mencipta? Apa perasaan yang terdetik tika itu? Tak dapat digambarkan bukan?


“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka Melihat.” (Al-Qiyamah 22-23)


MEMBURU RAHMATNYA



Tertunduk penuh rasa kehambaan, pabila membaca satu hadis. Dengan izin Allah, benar-benar menusuk halus ke dalam hati ini.


Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. sabda Baginda yang bermaksud : “Allah mencipta rahmat dalam 100 bahagian. Dia menahan di sisi-Nya 99 bahagian (rahmat) dan menurunkan ke bumi satu bahagian sahaja.” (HR Bukhari)



Hati membayangkan, betapa…dengan satu bahagian inilah, semua makhluk berkongsi di dunia ini, itupun sudah tidak tersambut rahmat-Nya yang melaut luasnya. Apatah lagi dengan baki yang bakal dinikmati di sana kelak. Sungguh! Dengan satu rahmat ini sudah mampu menyebabkan hati terpesona dengan dunia dan seisinya. Apatah lagi baki 99 rahmat di sisi-Nya.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki 100 rahmat (nikmat) satu rahmat daripadanya diturunkan-Nya dan dibahagi-bahagikan di antara jin, manusia, haiwan-haiwan besar dan kecil. Dengan rahmat yang satu itu, semua makhluk tersebut saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Dengan rahmat yang satu itulah seekor keldai menyayangi anaknya. Adapun rahmat yang 99 lagi disediakan Allah s.w.t buat kehidupan di akhirat. Dengan rahmat yang 99 itulah Allah akan mengasihi hamba-Nya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Bergenang air mata ini membaca hadis tadi.


Allah mengirimkan kefahaman buat diri ini. Selama ini aku membaca hadis riwayat Bukhari yang menceritakan dialog Rasulullah dan sahabat. 

Rasulullah s.a.w: “Amal seseorang tidak mampu menjamin dirinya.”
Sahabat: “Apakah termasuk engkau , wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w: Ya, termasuk aku juga. Hanya rahmat Allah.”


dan kini Allah telah mengizinkan diri ini untuk lebih memahami. Alhamdulillah.



Sesungguhnya, baki 99 rahmat Allah inilah yang dimaksudkan dalam hadis tadi:


Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)


BELAJAR RINDU



Sedang menunggu seorang guru untuk menuntut ilmu. Tangan membelek-belek sebuah bahan ilmiah. Cuba menghilangkan rasa mengantuk di kepekatan malam. Hati terketar. Bila membaca artikel betapa sebenarnya kita harus sedar dan belajar. Belajar untuk rindukan syurga. Belajar untuk merindui syurga sebagai salah satu cara untuk merindui yang menciptakannya.

Pandang bunga. Berfikir betapa indahnya lagi Syurga yang Allah janjikan. Bila pandang sungai latih hati untuk makin mengislahkan diri kerana nikmat di sana lebih hebat dari satu rahmat yang mempesonakan ini. Jadikan keindahan ciptaan Allah di dunia sebagai inspirasi mengejar keindahan sebenar-benarnya keindahan.


Jom sama-sama impikan syurga!


Sama-sama sentiasa beramal dengan doa yang di ajar oleh Rasulullah ini:

“ Ya Allah aku meminta padaMU kelazatan melihat wajahMU dan rindu bertemu denganMu.” (HR Ahmad danAnNasa’i)

P/s : Sungguh, bagi orang-orang yang Allah pilih, mereka sebenarnya telah diperlihatkan syurga di DUNIA lagi, ketika saat mati menjemput mereka sebagaimana Asiah telah diperlihatkan mahligai yang telah dipersiapkan untuknya di syurga. T_T


Fi baiti Sakinah,
21 November 2012,
11.33 P.M

Monday, November 19, 2012

Keterhijaban dan berbaik sangka


Bismillahirrahmanirrahim.



Jarang sekali kita berfikir. Ya, berfikir bagaimana memaknakan setiap kata yang kita ucapkan, setiap patah kata yang kita tulis. Terkadang kita hanya memaknai rasa syukur dengan sekadar melepaskan kata Alhamdulillah bila hanya mendapat sesuatu nikmat. Seorang sahabat yang sangat Anis kagumi setiap bait katanya, sering membetulkan kata-kata yang terbit dari bibir ini. 



Bukan terkadang Nis, tapi selalu, selalu kita hanya bersyukur saat mendapat sesuatu nikmat.”



Suatu saat yang lain,



“Terkadang, kita sering terlupakan Dia”



“Nis, bukan terkadang, tapi selalu…”



Benar kak… selalu kita melupakan Dia, dalam sedar ataupun tidak. Allah… hati ini masih ada cinta dunia. Sesungguhnya dalam syukur yang sebenar ada penghayatan luar biasa akan penerimaan, ada rasa terima kasih begitu besar, ada ketulusan dan keikhlasan yang mendalam.



Maka, izinkanlah diri ini mengucapkan syukur kepada ALLAH yang Maha Agung. Benar, kekuatan dariNya adalah kunci setiap langkahku dalam hidup, hingga setiap sedutan nafas, keluar masuknya, berdengupnya jantungku ini, berkedipnya mata ini, semata-mata bergantung pada belas kasihNya hingga kemudahan dariNya yang membuatku mampu untuk menaip setiap bait kata ini. Semoga Cinta tertinggi tetap bersandar kepadaMu.  Dan Muhammad S.A.W, selawat dan salam buat dirimu,  wahai belahan jiwaku. Tanpamu mana mungkin bisa tersinar iman dan Islam dalam susuk tubuhku, dan tak mungkin dapatku rasakan nikmat ini.



KETERHIJABAN


Pagi tadi masih menyelak lembaran buku yang sama, ada separuh lagi belum dikhatam, buku yang terkemudian sampai, terlebih dahulu dihabiskan. Bukan berat, namun buku ini perlu dihadam dengan hati. Begitu enak patah katanya. Tersenyum.



Anis tersentak dengan banyak perkara melalui tulisan Salim A. Fillah ini. Moga Allah merahmati dirinya. Amin. Berbincang tentang keterhijaban dalam konteks yang Anis ingin sentuh sahaja ini, (sebab hijab ni luas dan banyak makna dan konteksnya). Hijab dalam konteks kita tak pernah tahu apa yang terjadi esok. Ya, kita terhijab dari sebuah tabir masa depan. Dalam keterhijaban itu kita sering terperangkap dalam sebuah perkiraan. Perkiraan menduga apa yang bakal terjadi disebalik keterhijaban itu. Apa yang bakal terjadi di masa depan yang tak ternampak itu. Kadang kita berfikiran positif dan kadang dalam tanpa sedar, malah mungkin selalu kita berfikiran negative. Itu semua pilihan. Kita lah yang menjadikan kehendak kita selari dengan kehendak Allah.



PRASANGKA


Beberapa tahun yang kita lalui ini sebenarnya tanpa kita sedar, kita berjaya melalui dengan prasangka yang baik. Kenapa? Kita sebenarnya tak mampu untuk terus menghadap laptop ini lagi jika kita benar-benar yakin mati itu satu saat lagi selepas ini atau memang saat ini lantaran saat kematian itu tiada siapa yang mengetahuinya. Kita tak mungkin berani untuk duduk atau berbuat apa saja melainkan dalamnya terkandung perkara yang membuahkan pahala. Namun, kita masih berani berbaik sangka bahawa Allah masih memberikan peluang untuk kita mengislahkan diri. Kita juga berbaik sangka bahawa kita masih diberi peluang untuk merencanakan hidup agar sentiasa dapat meningkatkan rasa rindu kepadaNya. Malah, kita sering berbaik sangka bahwa Allah kelak akan menempatkan kita di Syurga. Lantaran itu, ucapan kita sering dipenuhi dengan perkataan syurga. Misalnya, bercinta hingga ke “Syurga”, xpe, Moga ALLAH mempertemukan kita di syurga, serta lain-lain ungkapan. Dengan perasaan ini, kita sering dapat memenuhkan jadual perjalanan hidup kita dengan penuh bahagia, kita terus menggantungkan rasa raja’ kepada Allah dan menyusun rencana-rencana masa depan.



Sesungguhnya Aku (ALLAH) adalah di sisi sangkaan hambaKu kepadaKu. (HR Ibnu Majah)




KISAH YANG MENGGEGARKAN JIWA!


Alhamdulillah, belajar sesuatu dari sebuah kisah, Qalawun yang berani berbaik sangka dalam segala keterhijaban.


Qalawun, dalam mengikuti titik-titik takdir hidupnya, tidak pernah lekang dari bibirnya tatkala melalui fasa-fasa dalam hidup menyebut:


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"



Dengan prasangka baik kepada ALLAH akhirnya membawa pada cita-cita yang dihajati.
Apa jua yang dihadapi tetap terbit dibibir tanpa sepi,


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"



Masya ALLAH, percayalah, kamu perlu membaca kisah ini!!!!! à Kisah Qalawun



Inilah sekelumit kisah tentangnya. Qalawun yang berani berprasangka baik dalam segala keterhijaban. Qalawun yang berani berkata, “Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Kami hanya berprasangka baik kepada Allah!” Seperti kisahnya, dalam dekapan ukhuwah, ada berjuta kebaikan mengiringi prasangka baik padaNya. Dia setia bersama kita dan melimpahkan kebaikan, karena kita mengingatNya juga dengan sangkaan kebaikan.



Fi Baiti Sakinah,
19 November 2102,
10.32 p.m.