Friday, May 24, 2019

Impian sebuah kematian

Setiap dari kita, memang kena ada impian untuk mati dalam pengakhiran yang baik. Perkara ni senang nak ungkap, tapi kita sendiri tahu betapa susahnya kita nak lawan nafsu kita setiap hari untuk jadi hamba Allah yang baik.


Bila, ada ahli keluarga kita mati dalam keadaan yang baik, kita selaku ahli keluarga, patut rasa bersyukur, Allah jemput orang-orang yang kita sayang dengan pengakhiran yang baik. Tinggal sekarang, kita sendiri kena usaha untuk baiki diri, supaya cita-cita kita untuk mati dalam keadaan redha dan diredhainya tercapai.


Satu ungkapan yang tetap dalam doa setiap hari, “Ya Allah dengan rahmatMu yang Maha luas, ampunilah segala dosa kami dan HIMPUNKANLAH KAMI TETAP SEBAGAI SEBUAH KELUARGA di Syurga nanti bersama Rasul Mu dan para siddiqin. Janganlah kau pisahkan kami."   


Kebersamaan di syurga ni, mudah untuk kita sebut. Tapi sebenarnya tak mudah untuk dicapai. Kita kena ingat dalam kisah yang dijelaskan al-Quran banyak keturunan/keluarga yang tidak lagi boleh bertemu di akhirat, seperti: Nabi Nuh dengan putera dan isterinya, Asiah yang solehah dengan suaminya (Firaun), dan Nabi Lut dengan isterinya. 


Namun, Allah juga sebut dalam al-Quran bertemunya  keluarga besar di syurga bukan pula sesuatu yang tidak mungkin.     


"(Iaitu) syurga-syurga Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang saleh daripada nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan), "Selamat sejahtera atasmu kerana kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu." (Ar-ra'd:23-24)


Aku masih ingat kisah beberapa bulan lepas. Saat aku lihat hidung dan mata mak merah mengalirkan air mata, suasana dalam rumah menjadi sepi seketika apabila kami mendapat pengesahan yang ahli keluarga kami, Haziq telah syahid (insiden Christchurch). Dua pupu Abah, tiga sepupu aku. Kata abah, tak apa, ada juga ahli keluarga kita yang syahid sambil sebak mengukir senyum sambil merenung jauh. Rasa sebak, aku tahan dalam-dalam. Kemudian, aku pandang pula mak saudara dan bapa saudara aku merah mata mereka. Saat itu aku terbayangkan kesedihan mak sewaktu mak kehilangan nenek, aku tahu mak sedih sangat. Mesti lagi sedih dari ni. Tapi aku tak ada di sisi mak waktu tu. Aku tak dapat pulang pada waktu tu kerana tiada tiket. Aku nak nak sangat pulang. Tapi mak kata, tak pe, kalau pulang pun dah tak sempat tengok. Bila jauh, inilah perkara paling aku takuti.


Beberapa tahun sebelum ni, kami telah kematian bapa saudara ketika menanti khutbah jumaat di masjid, kematian bapa saudara ketika menanti waktu solat dhuha dan kisah paling menyentuh hati aku adalah kematian nenek sebelah abah. Telah aku kongsikan di blog. Semuanya Allah jemput dengan cara yang baik. Ada juga yang seolah-olah diberi tanda akan dijemput pulang oleh Allah. Itu bahagian orang yang dipilih oleh Allah. Yang pasti, kami cemburu dengan kematian mereka. Seorang saudara jauh kami juga, nurin Jazlin yang mati dibunuh beberapa tahun dahulu dan kesnya masih tidak selesai, aku juga yakin Nurin sedang bergembira di sana.


Hidup ni terlalu singkat bukan. Satu persatu orang yang kita sayang akan Allah ambil dan setelah itu akan tiba waktu kita pula.


 Tapi bila fikirkan, aku sendiri masih belum sedia. Tak sanggup untuk membayangkannya kerana aku tahu di mana aku di dalam pandangan Allah 😭  Salam 10 akhir ramadan, semoga menjadi titik permulaan terbaik untuk kita perbaiki diri.

KLIA2,
25 Mei 2019.