Saturday, March 13, 2021

Kisah Benar: Indahnya cara Allah mengabulkan doa seorang wanita

Bismillahirrahmanirrahim

 



Setiap wanita pasti sentiasa berdoa agar dirinya dijodohkan dengan seorang suami yang soleh sebagai imam dalam hidupnya serta menjadi temannya di syurga nanti. Namun, Maha Suci Allah yang pasti akan mengabulkan doa seorang hamba yang memohon kepadaNya.


Sebuah kisah benar daripada seorang wanita yang diuji. Seorang wanita yang sangat giat berdakwah semenjak dari usia remaja, akhirnya dipertemukan jodoh yang dinantikannya. Jodoh pilihan orang tuanya. Dengan hati yang tekad, dia berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah. Kali pertama memandang wajah sang suami adalah ketika akad nikah. Saat itu bermulalah kisah cintanya dengan seorang lelaki yang tidak diketahui bagaimana akhlaknya. Yang dia tahu hanya cerita-cerita dari mulut orang tuanya.


Allah yang Maha mengatur segalanya dan pasti ada hikmahnya. Doanya untuk hidup bersama seorang yang mampu menjadi imamnya ternyata menjadi sebuah kisah sebaliknya. Suaminya seorang lelaki yang tidak menunaikan solat lima waktu. Namun dia tidak cepat melatah. Dia sedar bahawa dirinya sedang diuji. Dia yakin bahawa Allah sedang menyayanginya dengan cara dan kehendaknya tersendiri.


 Dipendekkan cerita, pelbagai usaha  terus menerus tanpa putus asa dilakukannya tanpa berputus asa. Tekadnya hanya satu, supaya suaminya itu solat lima waktu. Masakan dia mahu menuntut perceraian pula. Dia tahu ada amanah besar menantinya. Sepanjang tempoh bertahun-tahun dia terus memerah usaha disamping tidak pernah meninggalkan tahajjud dan dhuha. Dalam doa tidak henti-henti merintih kepadaNya. Dalam waktu itu juga, dia jugalah yang menjadi imam kepada anak-anak perempuannya.



Setelah bertahun-tahun perkahwinannya, dia diuji pula saat si suami jatuh sakit. Rupa-rupanya itu bukan permulaan ujian lebih besar tetapi di sinilah titik perubahan terbesar dalam hidup sang suami. Saat itu, wanita tersebut mula melihat seolah-olah Allah sedang memakbulkan doanya. Allah sedang menjawab doa yang dirintihkan selama bertahun lamanya. Ternyata, kini dihadapannya Allah mengirimkan seorang suami yang soleh, yang sangat menjaga solat lima waktunya, malah tidak pernah meninggalkan tahajjud dan dhuha. Malah percakapan dan tingkah lakunya juga telah berubah menjadi seorang yang sopan dan lemah lembut.


Itulah suaminya yang dahulu Allah kirimkan  sebagai ujian buat dirinya dan disebalik ujian itu, suaminya juga adalah hadiah yang dia nantikan bertahun-tahun lamanya. Itulah suami soleh yang didambakan selama ini!


Benarlah, Engkau ya ALLAH Tuhan yang Maha mendengar isi hati hambaMu,
benarlah Engkau ya ALLAH Tuhan yang Maha mengatur hidup ini dengan aturan yang amat cantik sekali yang kadang tidak dapat difahami dengan ilmu dan akal yang terbatas ini. Namun dengan izinMu jua, Engkau kirimkan kefahaman kepada kami untuk memahami setiap inci hikmah dalam setiap rencanaMu.

Aku memandang wajah wanita tersebut yang pada mula dia membuka bicara berkaca-kaca matanya tapi tersenyum lebar di akhir bicara. Betapa dia tak pernah putus asa dalam berdoa dan betapa tinggi pengharapan ketika berdoa hingga Allah akhirnya memakbulkan doa. Bukan setahun dua tapi berpuluh tahun dari usia muda hingga 40 an. Terima Kasih Allah di atas pengajaran hari ini. Aku tahu engkau sedang mengajarkan aku untuk tidak berputus asa dalam berdoa. Belajar untuk yakin dengan ayat-ayatMu bahawa Engkau Pasti akan mengabulkan doa hambaMu sama ada cepat atau lambat.

Anis Humaira,
Sedang belajar bersabar dalam berdoa.

Thursday, March 4, 2021

Singgah Semula





Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini ada yang PM setelah selesai membaca penulisanku di blog. Lalu aku mencari ruang untuk kembali ke sini. Ternyata ku temukan sesuatu yang ku rindukan. Aku melihat diriku yang dulu melalui penulisan lalu. Lantas aku sedar, aku sangat merinduinya. Merindui diriku dalam kebaikan berpanjangan. Ternyata masa lalu adalah sebuah hamparan kemanisan yang dapatku baca pada masa kini. Mungkin dahulu ada kisah-kisah yang inginku simpan rapi kerna pernah terasa pahit. Hakikatnya perjalanan hidup ini adalah sebuah helaian-helaian ceritera indah dikarang Sang pencipta. Ceritera yang kadang tersirat dan tersurat. Ceritera yang kadangkala adalah fatamorgana yang sering menipu diri ini dan adakalanya adalah kemanisan sebenar yang perlu ku kejar hingga bertemu noktah terakhir yang telah tertulis untukku.

4321,
Malam Jumaat,
Bintulu.