Wednesday, June 27, 2012

Lepaskan "ikatan" itu


Bismillahirrahmanirrahim…


Lembaran yang anis taip kali ini sama seperti yang biasa-biasa. Sama sahaja seperti yang lepas. Beberapa sahabat menunggu anis untuk terus menaip berkongsi. Ada juga yang tidak henti-henti bertanya. Tiga minggu cuti sementara menunggu semester baru, ke mana menghilang? Menyepi hampir sebulan bukan bermakna menghilang. Kali ini, anis belajar.  Minggu pertama di Pahang minggu kedua di Kedah, Penang, Perak, Perlis dan minggu terakhir di Kelantan dan beberapa hari sebelum habisnya cuti kembali ke bumi Darul Makmur. Sebagai menghargai sahabat-sahabat yang sedia menanti, Anis berkongsi sedikit dikesempatan yang ada.


Praktikum fasa 2 bakal mengundang diri ini menjadi seorang guru sekali lagi. Seorang sahabat bertanya, bagaimanana cara menguruskan masa. Diam berfikir. Berkongsi sedikit dengannya. Diri ini terkesan dengan kata-kata seorang sahabat, kerja memang banyak gila! Tapi jangan sampai kita gila kerana kerja. Iya, benar, kerja memang banyak. Kitalah yang perlu menguasai kerja, jangan biarkan kerja yang menguasai kita.


Lembaran hati ini menaip berkaitan sebuah lakaran hidup sendiri untuk ditatap oleh insan yang melalui perjalanan yang sama. Sebelum ini Anis sudah beberapa kiranya menulis berkaitan M.A.A.F. Tapi kali ini Anis menulis setelah mendapat ibrah untuk tatapan seorang insan yang meminta sebuah nasihat yang Anis berharap agar sebuah tulisan semoga mampu mengetuk pintu hati. Semoga Allah membenarkan perkara ini berlaku.


“Saya dah maafkan tapi saya tidak dapat melihat wajah mereka lagi”.

“My dear, kamu belum memaafkan mereka lagi….”

“Apa maksud Kak Nis? Saya dah memberi maaf kepada mereka, tapi entahla….mungkin maaf secara “basi-basi”….”

“Adik, maaf kamu bukan dari hati kan? Kamu rasa tenang dah lepas memberi maaf?”

“ Sama saja Kak Nis, macam ada sesuatu di hati saya, sukar saya nak gambarkan….”


Anis faham situasi yang dihadapinya. Pernah melalui “pattern” ujian yang sama. Perit memandang orang yang melukakan hati berkali-kali. Berulang-ulang. Namun, mungkin kerana sikap pendiam membuatkan rasa itu tidak terlalu kelihatan. Berpura-pura tidak lagi terasa. Namun, sakitnya bagai ditusuk-tusuk dan dicarik-carik.


“Dik, kamu tahu tak orang yang tidak memaafkan akan sentiasa “diikat” oleh orang yang tidak dimaafkannya. Dik, “maafkan” nescaya ikatan itu akan terlepas. Maafkan dengan sebenar kemaafan, dengan itu adik akan terbebas dari terus mengingatkan kesedihan, kekecewaan, kemarahan yang dilakukan mereka terhadap diri adik. Maafkan, adik akan sihat, adik akan bebas!”


Adik itu kelihatan diam, berfikir barangkali.



Hmmm, memang saya masih dibelenggu oleh rasa sakit itu Kak Nis. Mungkin, kerana saya rasa memberi maaf itu umpama saya orang yang kalah. Tapi saya silap kerana saya sendiri menderita dengan ikatan itu.”


Memberi maaf terkadang ternyata lebih sukar dari meminta maaf. Kenapa? Walhal sudah berapa ayat al-Quran dan hadis yang dibaca, namun masih sukar untuk dipraktikkan. Selaklah lembaran hatimu. Lembaran dirimu. Pasti jawapannya ada. Ketika mahu dipraktikkan terasa umpama ego ditarik-tarik. Kemarahan membuak-buak. Allah….


Tulisan seorang ustaz yang berkongsi perkongsian ustaznya,


Mengapa sukar memaafkan? Ya, engkau ego. Rasa besar diri. Engkau tidak rasa kebesaran Allah. Orang yang merasakan kebesaran Allah pasti akan merasa kekerdilan diri. Allah lagikan pengampun. Dosa demi dosa hambaNya. Diampun segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat dari dosanya.”


“Kenapa kau merasa besar? Kaukah yang memberikan rezeki kepada dia (orang yang enggan dimaafkan)?  Kaukah yang memberikan hidayah kepadanya? Kaukah yang menyembuhkan dia ketika sakit? Insaflah. Allah yang memberikan semua itu. JIKA ALLAH YANG BESAR JASA KEPADA DIRINYA PUN MEMAAFKAN, ADAKAH PERNAH ADA PERKATAAN “LAYAK” BUAT DIRIMU UNTUK TIDAK MEMAAFKAN?”



Adik itu terdiam ketika Anis berkongsi hasil pembacaan Anis itu.



Kak Nis, masih terngiang-ngiang apa yang berlaku, mungkin alasan saya tidak memaafkan mereka “munasabah” di mata saya, namun mungkin tidak di sisi Allah. Allah pasti berkehendakkan saya agar memaafkan mereka. Perit, namun rasa terikat itu lebih perit sangat kan?

Kak Nis, baru saya sedar betapa “kecilnya” kesalahan manusia dengan manusia. Berbanding dosa manusia dengan Allah. Apakah alasan saya untuk terus tidak memaafkan. Memaafkan konon…padahal sebenarnya tidak.  Moga Allah sudi memaafkan perlakuan saya ini.”

“Ye dik, maafkan dosa sesama manusia agar kita mudah berbicara di mahkamah sana nanti. Allah maha penyayang, Allah maha pemaaf dan suka kepada hambanya yang suka memaafkan.”

“InsyaALLAH, sekarang juga saya harus pergi bertemu mereka. Ya Allah egonya aku selama ini. Umpama menyimpan sifat “ketuhanan” dalam diri yang penuh kehinaan”.



Adik itu berlalu, segera ingin “memberi” maaf, bimbang tidak berkesempatan, bimbang menjadi pemutus silaturrahim. Ruginya menjadi pemutus silaturrahim lantaran bau syurga pun tidak dapat dihidu.



Pernah tengok ikan dilautan? Tidak pernah terpengaruh dengan masinnya air laut. Namun begitu, setelah ikan itu mati, hanya secubit garam sudah mampu memasinkannya. Begitu juga dengan hati kita, bila ia hidup, ia pasti kuat menangkis garam-garam kehidupan yang cuba memasinkannya, namun apabila hati mati, pasti hati itu mudah masin walaupun dengan secubit pengaruh garam.



Kata-kata ini Anis berkongsi dengan seorang sahabat sewaktu duduk di atas bangku, saat dituntut hak sebagai seorang sahabat untuk memberi nasihat. Allah, berat bibir untuk mengungkap berat lagi hati. Moga Allah memimpin aku….jagailah aku.

Setelah sekian lama menyepi,
mengharap redha Ilahi,
Moga Allah sudi memberi.
Memperkenankan doa di hati.
Usah terus menanti
jangan dilayan kehendak hati
bakal sempurnakah impianmu nanti?
belum tentu itu yang Ilahi janji
pintalah petunjuk dalam aliran doa suci
Moga dipimpin hati.

Fi M302,
27 Jun 2012,
6.25 P.M.






No comments: