Friday, April 27, 2012

Tentang Sayang



Bismillahirrahmanirrahim..

Terasa titik riang di hati lantaran saat ini sempat menganyam kata-kata setelah lama hanya menyimpan untuk tatapan hati. Meninggalkan bumi Darul Makmur untuk tiga hari, tanpa disangka menyingkap pelbagai hikmah. Allah…sahabat-sahabat menuntut ilmu dengan ujian ketiadaan air berhari-hari. Namun, Allah tidak pilih diri ini untuk merasai ujian yang sedemikian rupa. Alhamdulillah, saat menjejakkan kaki kembali ke bumi Darul Makmur ini, rezki air sudah pun mengalir.

Kali ini, Anis ingin berkongsi tentang yang berbeza.

KISAH  1
Masih ingat rutin harian di rumah, memotong dan membersihkan ayam sebelum memasak. Kemudian ada dua bahagian yang pasti diasingkan iaitu hati dan kaki ayam. Itu pesan mak. Kata mak, ini untuk seorang teman ditempat kerjanya yang memang suka makan hati dan kaki ayam. Pada mulanya kurang hairan dengan situasi itu. Namun, hati ini cukup tersentuh apabila dikhabarkan kisah hidup teman mak itu.

Dia seorang isteri yang tersangat sabar pada penelitian mak, walaupun ada yang menganggap tindakannya kurang bijak, namun dia lebih memilih untuk sabar berbanding dengan menggadaikan rumah tangganya dengan sebuah perceraian. Dia punya seorang suami yang tidak mengasihinya. Dipenjarakan kerana lari ke seberang untuk berkahwin lain. Namun, dek kasih seorang isteri, dia yang sendiri yang dihimpit kesempitan hidup tetap mengumpul dan meminjam wang dari teman-teman untuk membebaskan suami tercinta.

Namun, sekembalinya dari penjara, bukan ucapan terima kasih yang menjadi hadiah buat sang isteri yang berjiwa setia, namun pukulan dan hentakan menjadi tanda “cinta”. Apabila ditanya berkaitan dirinya, dikhabarkan dirinya jatuh. Dia masih enggan membuka keaiban suami tercinta. Dia masih utuh bersabar. Malahan, mak mengetahui hal sebenar, apabila anaknya tidak tahan membuka cerita di dada.

Along, tak baik cerita keburukan ayah kepada orang lain. Buruk macam mana pun, dia tetap ayah along kan… mak tak suka along bercerita kepada orang lain.”

Dia masih segar menasihati anak tercinta. Hutang kereta dan lain-lain masih mengelilingi pinggang lantaran suami malas bekerja. Allah… bagaimana dia mempunyai kekuatan untuk terus bersabar dan tidak mahu bercerai? Mengapa dia memilih untuk tidak membuka keaiban suaminya? Dan pelbagai persoalan hanya dia yang tahu.

Berbeza dia dengan ramai orang. Kadang-kadang ramai yang menganggap tindakannya kurang bijak. Namun, masih tertulis di benak fikiran ini, mungkin ada sesuatu yang menjadikan dia memilih sabar untuk terus berhadapan dengan ujian.Namun, apa yang Anis faham, dia hanya mahu anaknya tetap menyemat dalam dada..

Ayahku selamanya ayahku. Apapun yang telah dilakukannya ia tetaplah ayahku. Apa pun yang bisa ku lakukan untuknya akan aku lakukan..dan aku memohon kepada Allah, pemilik urusan hati ini, agar aku tetap mencintai ayahku..agat selalu mengingat kebaikannya walaupun sedikit agar aku selalu mencintainya dan lupakan keburukannya….”

Benar, pasti si suami pernah menumpahkan walau setitis kasih buat si anak dan isteri. Dan setitis kasih itu tidak dapat dibayar walaupun sebesar apapun usaha.

Pesan si Ibu buat si anak…
“Hargailah ayahmu walau bagaimanapun dia kerna cinta dan kasihnya pasti tidak dapat dibayar walau dengan apa cara sekalipun, seburuk manapun dia bersabarlah kerna kesabaranmu itu juga bakal membawa kebaikan buat dirimu dengan membuahnya pahala untuk bekalan dirimu kelak.”

Seni CINTA itu berbeza dan amat sukar difahami, pasti suatu ketika dahulu suaminya pernah menumpahkan cinta dan sayang hingga dia merasakan perlu menghargainya dan menjadikan kesabaran sebagai lubuk pahala dan mungkin dia punya sedikit harapan bahawa suaminya bakal berubah dengan doa yang tidak henti-henti dipanjatkan kepada Allah yang Maha baik. Wallahu a’lam.

KISAH 2

Menanti di luar Dewan Bedah, mata melilau kanan dan kiri, doktor, jururawat, pembantu doktor, pembantu jururawat, atendan kesihatan keluar dan masuk Dewan Bedah. Melihat seorang demi seorang pesakit disorong masuk dan keluar ke Dewan Bedah. Diluar, kerusi yang panjang, diatur sepanjang dinding, kelihatan keluarga pesakit menunggu dan tetap menunggu walaupun dari pagi tadi dan sekarang masa sudah menjenguk 12.30 tengahari. Walaupun mereka dengan muka yang kepenatan, keletihan, namun tiada pun yang mengeluh kebosanan menunggu ahli keluarga mereka yang terlantar dalam Dewan Bedah terbabit. Sebelah Anis, seorang ibu, dalam lingkungan 50 an, tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Si Ibu sentiasa menunggu dengan kesabaran. Begitu juga wajah-wajah ibu-ibu dan bapa-bapa muda yang mengiringi si kecil yang  kesakitan. Memujuk anak mereka dengan kesabaran dan kasih sayang.

Mungkin mereka pernah mengeluh, mungkin juga ada diantara mereka mempunyai pelbagai perasaan tatkala diuji. Namun, itulah warna kehidupan manusia. Tidak surut dari diuji.  Para doktor dan jururawat masih segar dengan senyuman, walaupun berjam-jam lamanya menghadap pesakit dalam Dewan Bedah, kerja mereka cukup murni. Insan-insan beginilah yang bisa memotivasikan keluarga dan pesakit sendiri. Berbunga hati melihat para doktor wanita yang bertudung labuh hingga menutupi dada, ada yang bertudung bulat, sejuk hati memandang. Mudah-mudahan orang yang beragama ini bisa membina dan membawa pesakit mereka memahami agama, membawa pesakit kepada Allah.

Wad 2 *****
Dua katil bersebelahan, kelihatan seorang ibu, sekejap-sekejap menyuapkan bubur ke mulut anaknya. Sekejap-sekejap menghulurkan air dengan straw. Pemuda. Ya! Seorang pemuda yang masih kuat tubuhnya, masih tampan dan segak, dalam lingkungan 20 an, namun masih setia menerima layanan daripada ibu tersayang. Berbeza dia dengan diri yang menulis. Ya! kerana Allah telah pun menarik salah satu nikmat yang pernah diberikan iaitu nikmat PENGLIHATAN. Terlibat dengan kemalangan ditempat kerjanya, kilang air batu, matanya buta akibat berlaku kebocoran gas hingga terkena matanya dan akhirnya mata yang pernah diberikan keizinan untuk melihat telah kembali ditarik pinjaman tersebut.

Bezanya, mereka itu masih lagi dengan senyuman, si ibu masih seperti biasa dan si pemuda masih seperti biasa. Kadang-kadang mengurut-ngurut matanya, sakit mungkin. Tiada titisan air mata yang mengalir dari mata mereka sepanjang hampir seharian Anis di situ. Mungkin pernah bersedih, namun apabila redha dan ikhlas hadir, ia lebih manis. Hingga akan merasakan, memang tidak punya apa-apa melainkan segalanya adalah pinjaman. Teringat kepada seorang junior di MMP dahulu, diuji Allah, terlantar. Lumpuh setelah menjalani pembedahan tulang belakang. Semua nikmat kudrat tubuh badan itu ditarik kembali. Allah… bergenang air mata. 


Ketika ini, mungkin "ia" (nikmat-nikmat ini) adalah milik pinjaman untuk kita, tapi sesaat,seminit, sebentar lagi, belum tentu. Pernah, diri ini sendiri memujuk hati.

Aku adalah milikNYA! Jadi, terpulanglah bagi Dia, bagaimana Dia ingin memperlakukan aku, seperti aku dan barangan yang aku miliki. Namun hakikatnya tetap tiada satu pun milikKu, malah aku sentiasa mengharapkan kasih dan sayangNya dengan pelbagai pinjaman daripadaNya. Kerna seni Kasih SayangNya terlalu unik, hingga sukar aku fahami. Kadang-kala  sentiasa, aku tersilap dalam mentafsir. Apa yang aku pasti, Dia tidak akan menzalimi hambaNya…”

Semoga dia diberikan kekuatan olehNya untuk menghadapi “Dunia baru”, moga Dunia Baru itu menjadi dia jauh dari dosa-dosa yang disebabkan matanya. Semoga Dia semakin dekat denganMu.

Dalam diuji, Allah membuka 1001 pintu kebaikan, menggandakan lagi kebaikan dan kebajikan buat hamba yang dirinduinya itu. Dalam ujian, jika kita lulus dan berjaya menjawab semua soalan, maka gred kita pasti semakin cemerlang . Begitu juga dalam hidup, makin tinggi martabat kita di sisinya. Jika bukan kerana itu, pasti kaffarah dosa menjadi ganjaran. Tiada satu yang tersisa. Malah, dicelah-celahnya, Allah menghadirkan pelbagai hikmah, sepasang suami isteri semakin rapat hubungan, semakin saling memahami apabila anak mereka ditakdirkan terlantar di atas katil. Seorang ibu dapat mencurahkan kasih sayang berterusan kepada si anak yang sudah dewasa itu, jika sebelum ini si anak terlalu sibuk hingga mengabaikan ibu. Hatta si anak kembali menghargai si ibu. Para pekerja di rumah sakit itu, mungkin sahaja bisa membawa pesakit kepada Allah jika sebelum itu mereka tidak pernah pun mengenal erti tikar sembahyang pun. Dah pelbagai hikmah yang tak terjangkau dek akal. Hanya insan yang melalui bisa memahaminya.

P/s: Semoga Allah mengurniakan kesembuhan, meminjamkan kesabaran, meningkatkan darjatmu di sisiNya.. T_T… I’ll love u forever…ku mohon kasih dan cintaku kepada insan ini hanya keranaMu ya ALLAH

Sekadar menulis, menjenguk jendela,
24hb April 2012 (Rabu),
Hospital Universiti Sains Malaysia.

2 comments:

Srikandi permata said...

Assalamualaikum ya ukht..
Allah..hebatnya mereka dalam meniti kehidupan..kesabaran...
Jazakillah ats perkongsiannya..betol2 bermakna.

Anis said...

waalaikmslm..... Allah Maha Baik.. justeru, dia sentiasa mengurniakan "kebaikan" kepada hambanya, cuma hambanya shj sukar memahami bentuk kebaikan yang dianugerahkan..hingga disingkapkan hikmah...