Tuesday, September 10, 2013

Himpunkan kami sebagai keluarga



Bismillahirrahmanirrrahim.

Dulu kami melihat tegap badannya. Kuat kudratnya. Deras langkahnya. Kini tubuhnya tidak segagah dahulu ada kala mudah lelah dek berat tak termampu usia sang emas. Dahulu hitam rambutnya, lebat merimbun. Kini hanya ada putih menutup yang hitam. Rambutnya tidak seperti dahulu lagi. Dahulu masih lembut tangan yang menggenggam, kini urat-urat, tua kulitnya mula terasa. Namun, kasih dan sayang senantiasa bertambah dan masih tetap terasa muda. Kami ini permatamu ayah bonda. Saat hati digigit rindu, kata pantas mencantas rasa menyulam istimewa buatmu.


Mak...
Mak bukan seorang guru,  namun maklah guru terbaik mendidik kami,
Mak bukan seorang jururawat, namun mak mampu merawat sakit zahir dan batin kami,
Mak bukan seorang tukang jahit, namun pakaian kami mak mampu jahitkan,
Mak memang seorang chef, sudah pasti masakan maklah yang terbaik dihati kami.
Mak bukan seorang yang kaya, tapi hati mak sudah terlalu kaya dengan kasih dan sayang buat kami,
Mak memang pendiam, namun hanya mak orang yang mampu membuat kami tersenyum walaupun tanpa sebarang jenaka,
Daripada mak, kami belajar kesabaran,
Daripada mak, kami belajar menerima,
Daripada mak terlalu banyak erti yang tidak mampu terluah dengan kata.
Mak, di mata kami... Maklah isteri yang solehah, Ibu yang solehah juga anak yang solehah, mudah-mudahan mak juga dipandang oleh Allah sebagai hambaNya yang solehah.


Abah...
Abah bukan seorang ustaz, tapi abahlah ustaz bagi kami.
Abah bukan seorang imam masjid, namun abah mampu menjadi imam bagi kami,
Abah bukan seorang qari, tapi bacaan abah sangat merdu dihati kami,
Abah bukan seorang chef, namun abah juga chef bagi kami (selain mak :P),
Abah bukan seorang tukang, tapi abah mampu membaiki segala keperluan kami,
Abah bukan seorang yang kaya, tapi hati abah sudah terlalu kaya dengan kasih dan sayang buat kami,
Abah bukan seorang tentera, tapi ketegasan abahlah mendidik disiplin dalam diri kami,
Abah sudah pasti bukan seorang pelawak, namun abah mampu membuat kami riang bersama.
Daripada abah, kami belajar untuk mendidik,
Daripada abah, kami belajar erti kesabaran,
Daripada abah, kami belajar apa erti ketegasan,
Daripada abah, kami belajar ...dan  terlalu banyak erti yang tidak mampu dikongsi.
Abah, di mata kami, abahlah suami yang soleh, seorang ayah yang soleh, juga anak yang soleh, mudah-mudahan abah juga dipandang oleh Allah sebagai hambaNya yang soleh.


Satu ungkapan yang tetap dalam doaku dan akan terus ku merayu, “Ya Allah dengan rahmatMu yang Maha luas, ampunilah segala dosa kami dan himpunkanlah kami tetap sebagai sebuah keluarga di Syurga nanti bersama Rasul Mu dan para siddiqin. Janganlah kau pisahkan kami. “


#Rindukan kampung hakiki, syurga nan abadi. Sekiranya kita mampu merindui kampung halaman apakah yang menghalang kita dari merindui kampung yang hakiki? Tidakkah kita rindu untuk kembali ke syurga? Belajarlah merindui syurga. Sudahkah kita lupa kita berasal dari keturunan Nabi Adam dan Hawa, asalnya dari Syurga Allah yang amat indah. Jika hendak pulang ke kampung di dunia perlukan persiapan, bekalan, bagaimana pula jika kita ingin pulang ke kampung syurga?


M202,
9 September 2013,

10.17 P.M.

2 comments:

anis umaira Anas said...

Assalamualaikum Kak Anis :) Ira nk ckp ira suka sngat dengan blog kak Anis nih.Kalau kak Anis Sudi dtg lha ke blog ira anisumairaanas.blogspot.com thankyou klau sudi dtg ;)

Anis said...

Waalaikumsalam dik ira. :-) terima kasih sudi ziarah cni. Insya Allah dik