Sunday, June 23, 2019

Bukan keluhan tapi perkongsian



Alhamdulillah, hari ini sempat grab 'promo' AA untuk tiket perayaan Eidul Adha nanti setelah berhari-hari membuat perbandingan harga dan merenung harga pada skrin telefon pintar. Rasanya semua guru di Borneo melepasi fasa yang sama. Merenung dengan mengharapkan harga makin turun. Tiba-tiba harga makin mahal dan waktu tu mulalah gelabah nak membeli. Harga? Pejamkan mata jelah. Dah habis murah tu. Total tiket sahaja untuk Eidulfitri dan Eiduladha menjangkau hampir RM3500 untuk seorang individu. Ya, hampir habis sebulan gaji. Inilah antara sebab guru-guru semenanjung ini 'tidak tahan' mengajar di borneo, penat untuk mengatur kewangan.

Pada tahun 2014, saya masih mampu terbang bersama Malaysia Airlines dengan kadar RM200+ sehala dari BTU-KBR, pergi balik kurang dari RM500. Tapi kini, harga tersebut tinggal kenangan. Habis 1K ke atas itu perkara biasa setiap kali pulang untuk menatap wajah ibu dan ayah. Itu untuk harga tiket sahaja, tidak termasuk teksi ke airport dan kos-kos lain. Harga tiket boleh mencanak naik 2K dan lebih untuk seorang individu bila tiba hari raya dan musim cuti persekolahan. Hari biasa, elok je harga tiket tu murah 😂 

Apatah lagi, kami yang terbang dari bandar 'minyak' (antara 10 bandar termahal kos sara hidup di Malaysia dan termahal di Sarawak) yang mempunyai 3 penerbangan sehari sahaja ke Kuala Lumpur. Terhad. Ya, biasalah, syarikat penerbangan dengan permainan bisnes mereka. Kita selaku pelanggan terpaksa akur kerana sudah tidak ada jalan lain. Takkan nak mendayung sampan merentasi Laut China Selatan 😂. Kerana itu juga rakan-rakan yang berkeluarga ada yang menahan keinginan pulang kerana menantikan ehsan waran tambang percuma setahun sekali.

Alhamdulillah, kami seronok di sini, sangat seronok berbakti di tempat orang, mengenal budaya dan orang-orangnya. Seronok! Tetapi kesakitan membayar harga tiket yang mahal kadang kala menghilangkan keseronokan berbakti di sini. Kata bapak menteri, guru agama dari Kelantan dan Terengganu harus bersabar dan jangan pulang dahulu ke Semenanjung dan terus mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah dan medan menabur bakti. Memang benar, selagi ada ruang dan peluang hingga noktah ditetapkan Tuhan, kami tetap bertahan berbakti di sini. Tetapi sejauh mana kesabaran para guru itu berbaloi dalam menyelesaikan masalah tiket penerbangan yang mahal ini? Tiada kan. Guru masih lagi perlu membakar dirinya seperti lilin. Hanya dia yang berkorban. Bahkan, kini tiada lagi istilah beli awal tiket untuk dapat harga lebih murah kerana seawal tahun lepas harga tiket tetap sama. Jika harganya boleh dirunding dan tetap seperti tiket bas dan kami mampu pulang bila-bila masa yang kami kehendaki untuk bertemu orang tua kami, sudah tentu guru-guru akan 'diam' dan tidak membahaskan soal keperitan ini.





Bila dalam keadaan tertekan, berdepan masalah kewangan inilah, maka guru-guru akan mula bising dan masyarakat pula dalam keadaan tidak meletakkan diri mereka dalam kasut guru seolah-olah muak dengan keluhan demi keluhan. Kerana ini juga, tidak pelik untuk saya katakan, ada rakan-rakan guru berhutang kad kredit demi membeli tiket. 

Oleh itu, anak-anak borneo hargailah guru-guru kamu, yang datang jauh beribu kilometer merentasi laut china selatan demi menyebarkan ilmu untuk kalian. Perit meninggalkan orang kesayangan dan perit menguruskan kewangan. Suatu saat pabila kalian dewasa, terbanglah berbakti seperti kami dengan lebih ikhlas 😊

Ya Allah, jadikanlah guru-guru borneo ini kaya raya 😂 supaya kami tak lagi rasa terbeban. Amin...

Dulu setia bersama MAS, kini bersama Air Asia ✈️😂 #diariustazahborneo

Bintulu,
230619.

3 comments:

Anonymous said...

Mudah-mudahan 1 hari nanti akan muncul ramai guru yg berbakat dari Sabah dan Sarawak. Jadi dah tak perlulah guru-guru Semenanjung dihantar bertugas di sana lagi.

Tapi bila macam tu, lepasan guru yg dari Semenanjung ramai, kalau tak keluar, tak banyak kekosongan jawatan/tempat. Susah juga. (Dan tak boleh doakn guru kaya. Kalau guru kaya-raya, dah tak mahu mengajar pulak nanti :D )

Apapun, untuk Anis dan semua guru, saya doakan semoga Allah SWT cukupkan keperluan dan keluarkan daripada sebarang kesempitan hidup, sentiasa ceria, ikhlas dan bersemangat untuk menyampaikan ilmu, mendapat keredhaan Allah serta bertemu kebahagiaan yg dicari (ya Allah, amiiin.)

Humaira said...

Bermula 2,3 tahun kebelakangan ni, tiada lagi guru muda semenanjung diposting ke sini. Junior saya asal semenanjung semua di postingkan di sana dan yang asal sabah sarawak di postingkan di sabah sarawak. Yang dilema adalah guru lama bila nak balik ke semenanjung ttapi kuota dh diisi guru muda. Hanya mampu bersabar dan bersangka baik dengan Allah. mudah2an Allah mencukupkan untuk kami rezeki dari jalan tak disangka2

Anonymous said...

Oo patut la. Sabarlah ya Anis. Mudah2an Allah makbulkan doa tu. Amiin.