Friday, May 13, 2016

Teruskan larian ramadanmu!





Bunyi tembakan dilepaskan ke udara menandakan larian sudah bermula.


Para peserta dilepaskan. Kelihatan semua peserta begitu bersemangat memulakan larian mereka. Ada yang terus memecut berlari dan ada yang berlari-lari anak. Tidak kelihatan orang yang berjalan pun. Semuanya bersungguh-sungguh memulakan larian.


Namun, selepas beberapa kilometer, rentak larian kebanyakan peserta sudah pun berubah. Yang berlari memecut laju tadi kini ada yang hanya berjalan perlahan-lahan kepenatan. Peserta yang berstamina tinggi, masih lagi kekal dengan rentak larian mereka. Ada juga yang berselang-seli berlari beberapa meter, kemudian berjalan beberapa meter. Tidak kurang juga ada yang terus berhenti dan duduk di bawah pokok. Mungkin mereka sudah berkeputusan untuk tidak menamatkan perlumbaan.


Setelah lebih separuh jarak yang dilalui, semakin ramai peserta yang mula berjalan. Ramai yang kepenatan dan kelihatan peluh mula membasahi baju mereka. Ramai yang sudah luntur semangatnya, tidak seperti sewaktu memulakan larian. Ada yang sudah berputus asa dan tidak menampakkan kesungguhan untuk meneruskan larian.Namun, ada yang terus meneruskan langkah namun semakin kecil bilangan pesertanya. Apabila garisan penamat semakin kelihatan, maka semakin laju pecutan yang diatur. Peserta mula menggunakan semaksima mungkin tenaga yang ada dan akhirnya berjaya menamatkan dengan penuh bergaya!


Begitulah analogi Ramadan yang sudah pun menghampiri ke garisan penamatnya, seperti juga satu pertandingan larian jarak jauh. Permulaanya ramai yang bersungguh-sungguh memecut dalam beribadah. Namun, dipertengahannya sudah ada yang lelah. Apabila menghampiri ke penghujungnya, ada yang sudah berputus asa dan tidak kurang juga ada yang terus menggunakan semaksimum tenaga dan kudrat yang ada untuk mengatur pecutan yang paling pantas bagi merangkul ganjaran yang dijanjikan Ilahi. Namun jumlahnya semakin mengecil!


Ganjaran ini hanya dapat diperoleh oleh orang yang bersungguh-sungguh mencarinya di penghujung Ramadan, di saat orang lain keletihan dan disibukkan dengan persiapan raya. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan, yang hanya ada dalam bulan Ramadan, tidak di bulan-bulan yang lain.


Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan larian di bulan Ramadan ini, memanfaatkan saki-baki beberapa hari yang masih ada sehingga sampai ke garisan penamatnya.


Semoga kita dipilih Allah untuk memperoleh keampunan-Nya sebelum melangkah keluar dari Ramadan sebagaimana banyak disebut dalam hadis-hadis sahih dan mendapat kebaikan berganda di dunia dan diakhir. Amin.

No comments: