Wednesday, August 8, 2018

Hidup itu antara syukur dan sabar

Bismillahirrahmanirrahim

Proses merupakan bayaran untuk pencapaian. Walaupun terasa pahit itulah satu hamparan yang perlu kita pijak. Mungkin kita telah berusaha sebaik mungkin, namun usaha manusia ini tetap dibatasi oleh taqdir Allah. surah al-Anbiya ayat 35 mencatatkan sedikit renungan kepada kita : "Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."



 
Kadangkala apa yang kita pohon serta usahakan tidak diperoleh dalam waktu yang kita harapkan. Saat inilah menguji kita sebenarnya terhadap keimanan pada Qada’ dan Qadar Allah.

 
Kita hamba yang dibatasi takdir, di situlah nokhtah segala tadbir. Dengan dugaan kegagalan, kita belajar erti kesabaran. Ada ulama mentakrifkan sabar ialah menjauhkan diri daripada mengingkari, tenang ketika menelan kepahitan bala serta menampakkan ketidakperluan kepada makhluk ketika ditimpa kefakiran di dalam menempuh ranjau kehidupan. Malah Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat mentakrifkan sabar ialah tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah Taala.

 
Di Terminal Musafir ini, banyak langkah yang telah diatur. Usaha yang dititipkan sebaik tadbir, haruslah tetap dipacakkan hati yang sedar bahawa usaha itu juga tetap dibatasi takdir Allah. Sesungguhnya nilai kegagalan itu mengajar kita erti kesyukuran. Sebahagian ulama mendefinasikan syukur ialah hati yang sentiasa teguh mencintai pemberi nikmat, anggota sentiasa mentaatiNya dan lidah sentiasa bergerak menyebut dan memujiNya. Dan sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba: 13).

(Petikan dari buku Menjejak Cinta ALLAH dan Rasul,Mustread Sdn. Bhd)

No comments: