Tuesday, August 14, 2018

Solatmu



Kamu dah solat Zohor?"

"Dah Ustazah." Jawab seorang murid.

Saya tenung mukanya sambil menarik nafas. Saya kembali senyum. .
.
"Betul, kamu dah solat?"

"Ya, ustazah."

"Kamu sebenarnya belum solat zohor kan?"

"Dah ustazah," Jawab murid tersebut dengan suara yang yakin.

"Macam mana kamu solat zohor, kat surau tadi tak ada air."

"Aduiii, kantoi."




                                                                 
Itu antara dialog beberapa bulan yang lepas. Saya kira dialog biasa murid-murid dalam tempoh latihan belajar untuk menunaikan solat. Selesai kelas Tasmik sekitar jam 1.20 petang setiap hari Isnin hingga Rabu, menjadi rutin saya berjalan dari kelas ke kelas. Mencari murid-murid tahun 6 yang masih belum menunaikan solat Zohor. Ini kerana, kebanyakan mereka tidak pulang selepas tamat sesi persekolahan jam 12.20 tengah hari kerana akan mengikuti kelas tambahan pada jam 2.00 petang.


Pelbagai reaksi mereka berikan kepada saya. Kadang-kadang sanggup menyorok di bawah meja, tapi takkan pernah berjaya untuk lari daripada saya. (Haha, gelak jahat). Kadang-kadang mencipta pelbagai alasan untuk tidak solat. Tapi naluri seorang guru yang ada dalam diri saya, seolah-olah dapat mengenal yang mana benar, yang mana palsu dalam percakapan mereka.


Sekarang, apabila mereka melihat saya melangkah dari kelas ke kelas. Mereka sendiri tahu kenapa. Bahkan, paling terharu apabila murid-murid bukan Islam pun akan sama-sama menolong saya membanteras kawan-kawan mereka yang tidak solat. "Dia belum solat lagi cikgu," seorang murid bukan Islam memberitahu ketika saya menjenguk ke kelas mereka.


Apa yang ustazah inginkan adalah kalian bukan hanya menjadi orang yang berusaha untuk dunia tetapi berusaha juga menjaga hubungan dengan Tuhan. Baru saya faham, jika dahulu kami sebagai murid takut dengan guru yang kononnya tahu i'rab muridnya. Bila dah jadi guru, sebenarnya naluri seorang guru itulah yang seolah-olah dapat membaca apa yang tersimpan dalam fikiran dan hati murid.


Haip, duk asyik membaca blog ni, korang dah solat ke belum? Jangan tipu, Ustazah dapat baca fikiran korang tau! 


Bintulu,
14 Ogos 2018



1 comment:

Anonymous said...

Melayan telatah murid mmg blh buat kita terhibur. Lupa rasa penat. Tapi kalau yg tak kena cara jd sebaliknya pulak. Nasib la :)