Monday, December 20, 2010

harga sebuah IMPIAN


Bismillahirrahmanirrahim..



SPM baru sahaja melepaskan lelahnya. Sang calon pula masing-masing sibuk membawa hala tuju, ada yang sudah bersedia dengan merancang sebuah impian, ada juga yang sekadar membiar diri di bawa arus, ke mana pun jua dia dihanyutkan, umpamanya redha sahaja.

Ukiran sebuah senyuman, serius dan apa jua riak muka insan. Kita lalu dihadapan berbondong-bondong manusia setiap hari. Tidak tahu apa yang mereka fikirkan, apa yang mereka impikan. Ini hanyalah apa yang mampu dibaca oleh Anis, namun mungkin berbeza pandangannya dengan kamu.

Zahirnya,

Yang mampu dilihat, mereka sibuk. Kalaulah bukan kerana impian, mereka mungkin tak seperti itu.

Menoleh ke belakang seketika…

Memori lama terimbas kembali, bagaimana Anis merangka sebuah impian, semuanya bermula seusai PMR, memilih bidang, bagaimana menolak sebuah suratan dengan beratnya. IMPIAN dan HARAPAN. Pasti akan tersepit di situ.

Anis?” Cikgu Intan memanggil nama, matanya liar mencari kelibat diri Anis.

Anis perlahan-lahan mengangkat tangan, jauh di belakang kelas.

Betul ke ni awak tak nak masuk kelas sains (aliran sains tulen) ?

ye cikgu..”

Alhamdulillah, Anis tak keseorangan pada ketika itu, masih ada sahabat, jua antara pelajar cemerlang PMR, Mariam dan yang lain melangkah memilih bidang perakaunan dan meninggalkan sains tulen ke belakang.

Mungkin sedikit pelik, dalam ramai-ramai berderu ingin menjadi pelajar aliran sains, berjela-jela surat rayuan untuk cuba memasuki aliran sains tulen, kami yang terhidang dihadapan mata pula memasang impian yang berbeza. Iye, namun besar bayaran untuk dibuktikan pada mak dan abah bahawa pilihan ini bukan salah. Itu salah satu dari impianku yang bukan mudah untuk memecahkan dinding HARAPAN.

Seringkali kita mendengar seorang anak meminta si ibu mendoakan dirinya.

“Doakan adik berjaya umi”, kata seorang anak yang soleh.

Mungkin jua dua orang SAHABAT yang mengikat janji yang sama, sama-sama mengejar sebuah IMPIAN atau sebenarnya mengejar HARAPAN.

Bagi Anis, harapan dan impian adalah perkara berbeza. IMPIAN merupakan apa yang ingin dikecapi dan ingin kita menggenggamnya. Iye, mengejar suatu HARAPAN adalah mengejar sesuatu yang bukan merupakan IMPIAN empunya diri, namun ia adalah IMPIAN ORANG TERCINTA.

Namun, mungkin juga anda boleh memandang dengan sudut yang berbeza. Mungkin juga pendapat Anis yang pertama tadi tidak terlalu relevan, jadi bagi Anis juga mungkin ada yang memandang IMPIAN ADALAH HARAPAN.

Impian itulah yang dikatakan sebagai harapan? Mungkin… kerana ia adalah batu-batan jalan yang mengarahkan kita bergerak ke hadapan. Tiada harapan, hilanglah jalan itu, lalu hilanglah si dia mencari arah.






KONGSIKAN IMPIAN

Anis bukan jenis yang suka bercerita segala-galanya tentang diri. Tetapi, tentang impian, ia adalah sesuatu yang perlu dikongsi. Tanpa perkongsian bagi Anis, adalah sekadar mimpi, yang hanya dilakar di awan mimpi. Biarlah kita terus terang, tiada siapa yang mahu merendah-rendahkan impian yang besar.

Anis tertarik dengan penulisan di Teratak SENI KEHIDUPAN. Katanya berkaitan “kongsikan impian”:

Ibarat Muhammad Al-Fateh yang bercita-cita ingin membebaskan konstantinopel, menjadikan dirinyalah orang yang disebut seperti di dalam hadis. Beliau menjadi pemimpin yang berpengaruh, kerana cita-citanya.

Ibarat Salahuddin Al-Ayubi, membesar dengan semangat membara untuk mengembalikan tanah Palestin kepada umat Islam. Beliau mampu mengumpulkan tentera yang gagah, kerana semangatnya untuk mendapatkan tentera yang sesuai dengan impiannya.

Lalu kita ini, mengapa tidak.

Biarlah impian kita ini diceritakan, mungkin yang mendengar itu menyediakan teksi, bas atau keretapi untuk sampai ke sana. Sekurang-kurangnya, mereka yang pernah atau telah mencapai impian memberi kunci ke pintu seterusnya. Pastikan kita sampai ke jalan akhirnya.

TERBANG JAUH MENUJU IMPIAN

Setiap tahun, pasti ramai yang akan terbang jauh.. Iye, demi menggapai impian…Jordan dan Mesir, tanah yang tidak asing lagi terutamanya bagi pelajar MMP (Maahad Muhammadi Perempuan).

Di sana, mereka bersama cita-cita yang besar.

Ibu bapa, sanak-saudara, adik beradik, rakan-rakan semuanya bersama memberi sokongan yang hebat di sana.

Terimbas kembali, kata-kata yang hangat membingit di telinga, pesan mak dan abah, bukan buat diri ini sahaja, malah sesiapa sahaja, sama ada terbang jauh, atau masih di tanah air.

"belajar sunguh-sungguh, jaga diri baik-baik ye, mak abah selalu doakan kamu”

Mungkin itu kata-kata yang tak jemu dilontarkan oleh mereka.

Mendengar kata-kata dari mereka , seringkali membuatkan diri merasa hiba.

Meninggalkan keluarga, memberikan keyakinan, bahawa mereka akan pulang membawa segulung kejayaan.

Lihat sahabat-sahabat yang terbang jauh itu..

Mereka telah membayar harga sebuah impian dengan pengorbanan yang sangat besar, menuju cita-cita yang mereka idam-idamkan.

kembali melihat diri sendiri,

berapa banyakkah yang aku bayar untuk impian ini?




IMPIAN YANG TAK TERCAPAI

Namun, sudah pastinya, sejauh mana sekalipin kita memasang impian, bukanlah satu yang mustahil ia mampu terbang begitu sahaja.

Mungkin hari itu, kita telah membayar waktu, wang, pengorbanan, namun setelah usaha yang panjang itu, rupa-rupanya ia bukan milik kita.

Lalu sekali lagi kita perlu membayarnya dengan harga sebuah keredhaan.

Cantik sekali ungkapan analogi ini;

“Aku meminta hari yang indah, tetapi Allah berikan aku hujan dan guruh.. rupa-rupanya Allah ingin hadiahkan aku pelangi yang indah”

Mungkin hari ini, kita tak dapat apa yang kita MAHU, tetapi hari kemudian rupa-rupanya Allah memberikan apa yang kita PERLU.

Itulah bentuk ujiannya.

“Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ‘ Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ” [Surah At Taubah : Ayat 59]

Tak semestinya yang cantik dan menarik itu indah dan gembira. Ia mesti dicalit sedikit kekecewaan, kesedihan, kerugian dan kelemahan. Lalu terukirlah hasil seni yang dinamakan kehidupan.

inilah dia kehidupan.

Sejauh mana kita bertahan dengan hakikat seni ini.

TIDAK ADA ISTILAH TIADA HARAPAN

Masih lagi meminjam kata-kata dari SENI KEHIDUPAN:

kalau di dalam dunia medikal, seseorang yang berada di dalam final stage dikatakan tiada harapan, atau dalam erti kata lain, menunggu maut.

Tetapi bagi seseorang yang mempunyai impian, sebenarnya tiada istilah tiada harapan.

Dahulu saya diajar, “lupakan sahaja”. Rupa-rupanya itu satu tanggapan yang silap. Saya belajar dalam kehidupan ini, dalam keadaan bagaimana sekalipun kita mampu menghidupkan kembali harapan yang ‘hilang’.

Sebagai contoh diri Anis sendiri, mungkin mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi dalam dunia seni bina dalaman. Dalam masa yang sama, terlalu minat dalam bidang bahasa arab. Sentiasa memburu impian dan membina perancangan. Sentiasa berusaha untuk cemerlang dalam setiap peperiksaan. Tetapi, suatu saat tanpa diduga rupanya ada impian (harapan) yang lebih besar menanti, impian besar ibubapa yang ingin melihat Anis menjadi seorang guru. Adakah Anis sudah tiada harapan? Atau, adakah perlu menghabiskan dunia perguruan ini kemudian mengambil jurusan senibina atau bahasa?

Heh, mustahil.

Minat Anis yang melepas dalam bidang itu tidak menghentikan usaha setakat itu sahaja, malah ada pelbagai kemungkinan lagi yang boleh digunakan untuk membantu, sama ada suatu masa nanti Anis mampu menggapai impian itu atau berusaha membantu orang lain memenuhi impian itu.

Jika tak mampu mencapai sebuah impian, ajar dan didiklah mereka mencapai impian itu. Kejayaan mereka adalah kejayaan anda juga. Jangan sesekali tarik diri dari ‘seni bina’ impian itu.

JIKA ANDA MEMPUNYAI IMPIAN LINDUNGILAH IA

Mencipta impian itu percuma. Ia tak perlu bayar dan sangat mudah. Tetapi untuk mencapainya seseorang itu perlu membayar harganya.

Biarlah letih, kalaulah anda yang dahaga tentu sekali anda berusaha untuk membayar apa sahaja untuk mendapatkan air.

Namun, siapa yang mahu jika apa yang telah dibayar menjadi ‘sia-sia’?

Untuk itu, jika anda mempunyai sebuah impian yang besar, lindungilah ia. Tiada siapa yang mampu merendah-rendahkannya. Tiada siapa yang boleh mengatakan anda tak boleh melakukannya. Tiada siapa juga yang berupaya untuk menggagalkannya.

Impian itu ditangan anda.

Lindungi ia. Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

BERDOA DAN BERTAWAKALLAH

Kata orang, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Tidak dapat tidak, kita mesti menerima hakikat yang kita ini hanyalah hamba. Sejauh mana pun usaha kita mendapatkan sesuatu, ia masih lagi aturan dan penentuan dari Allah samada ia boleh dimakbulkan atau tidak.

Impian itu adalah perancangan yang ingin kita capai. Pastinya untuk mencapai itu, sentiasa ada masalah-masalahnya, justeru itu spiritual kita pasti akan mencari penyelesaian dengan bantuan dari-Nya. Bentangkanlah segala kelemahanmu, kerendahanmu, permasalahanmu insyaAllah, Dia pasti akan membantu.

“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” [Surah al-Naml : 62]

Setelah kita berusaha, berdoa, maka letakkanlah segalanya pada Allah.

Tawakkal.

Buat diri ini, yang telah membayar harga impian yang tinggi, usahlah bersedih terhadap sesuatu yang hilang, sesuatu yang pergi, sesuatu yang tidak mampu. Buat diri ini yang inginkan impian, teruskan melangkah, mungkin belum masanya untuk melihat hadiah daripada lakaran dan investment impian ini.

Semangat!

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” [Surah Al-Baqarah : 216]

Credit to SENI KEHIDUPAN : INSPIRASI sebuah IMPIAN ^-^.. I like!


Di sudut hati Anis Humaira,

11.06 p.m,

20 Disember 2010,

Fi Baiti Sakinah.



No comments: